Karnival Cakna OKU 2025 Tingkatkan Kesedaran Masyarakat Terhadap Komuniti OKU

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Disember 2025 – Karnival Cakna OKU 2025 yang diadakan sempena Sambutan Hari OKU sedunia dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran warga universiti dan masyarakat mengenai kepentingan aksesibiliti, kefahaman serta sokongan terhadap komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Bertemakan “Kepelbagaian Dirai, Inklusiviti Diterajui”, karnival ini telah menghimpunkan tetamu daripada pelbagai latar belakang termasuk OKU, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar.

Ahli Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dalam ucapannya berkata karnival itu bukan hanya sekadar sebuah acara, tetapi simbol kesungguhan UKM dalam memanifestasi nilai hak asasi, keadilan sosial dan budaya penyertaan yang menjadi tonggak UKM sebagai universiti unggul.

“Komitmen kita tidak hanya tertulis dalam dasar, tetapi diterjemahkan melalui tindakan dan amalan harian. Karnival ini merupakan wadah penting bagi memperkukuh komitmen UKM dalam memperkasa teras UKM iaitu persekitaran inklusif dan mesra OKU,” katanya.

Beliau berkata sebagai universiti yang bertanggungjawab membina tamadun ilmu negara, UKM sentiasa menzahirkan prinsip bahawa pendidikan adalah hak yang tidak boleh dinafikan kepada sesiapa, termasuk komuniti OKU.

“Golongan OKU bukan hanya penerima dasar, malah mereka adalah penyumbang bermakna kepada kecemerlangan institusi dan pembangunan masyarakat,” ujarnya.

Program yang dianjurkan oleh Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU ini dilaksanakan dua tahun sekali dan menjadi platform untuk mempromosikan budaya kampus yang lebih inklusif, mesra OKU dan berteraskan nilai kemanusiaan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah D Jacob.

Pelbagai pengisian menarik dijadualkan sepanjang dua hari penganjuran, antaranya Malam OKU Berdoa, Eksplorasi dan Senam Sihat Bersama OKU, Bicara OKU Gen-Z, Pertandingan Seni Kreatif OKU serta Kursus Asas Komunikasi Bahasa Isyarat dan Braille.

Selain itu, antara aktiviti lain yang diadakan sepanjang sambutan Hari OKU Sedunia termasuk Disability Equality Training (DET) bagi petugas barisan hadapan, Jelajah Hijau Inklusif UKM, Podcast Edisi Khas Bicara Prihatin “Dari Bilik Darjah ke Dewan Kuliah: Inspirasi Pelajar Autisme”, Bicara Prihatin Siri 3: Anak Syurga dan Tuntutan Beragama, Pertandingan Puisi Hari OKU dan Pertandingan Video Kreatif Hari OKU.

Karnival Cakna OKU UKM 2025 diharap menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkukuh sokongan, akses dan peluang untuk komuniti OKU selaras dengan aspirasi UKM yang inklusif, progresif dan berdaya saing.

Sehari sebelum majlis ini turut diadakan Malam OKU Berdoa: Bicara Tanpa Hijab yang menghimpunkan kira-kira 1,500 tetamu dengan menampilkan persembahan kerohanian anak-anak istimewa daripada NGO dengan kerjasama Yayasan FAQEH.

Leave a Reply