Kerjasama UKMSC-FAM Perkenalkan Sijil Penjagaan Pitch Side Care in Football

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR , 14 Disember 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia Specialist Centre (UKMSC) mengadakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memperkenalkan Sijil Penjagaan Pitch Side Care in Football (PSCiF) Level 1 Certification.

Sijil ini adalah bagi memperkukuh kecekapan pegawai pasukan, jurulatih dan tenaga perubatan dalam pengendalian kecemasan di padang.

Usaha ini merangkumi penilaian risiko kecederaan, pembangunan protokol kecemasan, serta pengukuhan pemahaman mengenai kecederaan kardiovaskular, trauma neurologi dan kecederaan muskuloskeletal dalam kalangan pemain.

Pengarah Perubatan UKMSC, Prof Madya Dato’ Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff berkata UKMSC sentiasa bersedia menerajui rawatan berasaskan teknologi dan inovasi terkini.

“Hal ini selaras dalam memastikan pemain bola sepak Malaysia mendapat akses kepada rawatan yang setanding dengan piawaian antarabangsa.

“Tambahan pula, UKMSC komited untuk menyokong pemain negara bukan sahaja ketika mereka cedera, tetapi juga dalam pencegahan, pemulihan dan pembangunan prestasi jangka panjang.

“Kami amat menyayangi dan menghargai atlet negara oleh itu, sokongan kami adalah menyeluruh dan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali yang merasmikan majlis ini berkata kerjasama dengan FAM ini juga mencerminkan peranan universiti sebagai rakan strategik pembangunan nasional, khususnya dalam memastikan keselamatan atlet negara.

“Ia juga membuka ruang baharu dalam penyelidikan klinikal, pembangunan modul latihan perubatan sukan, serta peluang latihan untuk pelajar dan pakar UKM di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya berharap agar kolaborasi antara UKMSC dan FAM ini akan menjadi model terbaik jalinan antara akademia dan industri sukan, dan memberi impak besar terhadap budaya “bola sepak selamat” di Malaysia,” katanya.

Sebagai langkah awal kerjasama, Simposium Perubatan Bola Sepak dan PSCiF Level 1 telah dianjurkan bagi melahirkan tenaga kerja terlatih, meningkatkan kesedaran terhadap kecederaan sukan serta memantapkan tahap kesiapsiagaan perubatan dalam perlawanan bola sepak di seluruh negara.

Inisiatif ini membentuk rangka kerja latihan perubatan yang tersusun dan berstandard, sekali gus mencerminkan komitmen bersama UKMSC dan FAM dalam mewujudkan sistem tindak balas kecemasan yang lebih cekap, selamat dan konsisten.

Leave a Reply