Oleh Murniati Abu Karim
Foto KOMUNIKASI UKM
BANGI, 13 November 2025 – Konvensyen Pengajian Islam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa mencatatkan lebih 4,000 peserta, sekaligus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan Islam serantau.
Konvensyen yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini menandakan era baharu transformasi pengajian Islam yang menggabungkan warisan turath dengan inovasi teknologi.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar berkata Fakulti Pengajian Islam perlu memperluas perbincangan dengan universiti dan fakulti lain bagi mengenal pasti langkah tambahan yang boleh dilaksanakan, khususnya berkaitan peluang pekerjaan graduan.
Menurutnya, bidang pengajian sedia ada wajar diperkukuh dengan elemen multidisiplin, termasuk teknologi, komputer dan kecerdasan buatan, agar lulusan lebih bersedia menghadapi keperluan semasa.
“Harus ada satu bidang khusus yang kita anggap multidisiplin ini termasuk soal teknologi komputer atau kecerdasan buatan (AI) yang sekarang ada, tapi saya minta untuk membolehkan kerajaan berunding dengan sektor swasta supaya sebahagiannya dijamin pekerjaan dalam kerajaan dan sebahagian lagi swasta,” katanya.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar.
Tambah Anwar, sistem pendidikan Islam perlu dilaksanakan dengan lebih pantas dan fleksibel agar tidak ketinggalan dalam era digital yang berubah dengan cepat.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan ilmu dan teknologi perlu berjalan seiring dengan nilai, akhlak dan sahsiah agar pembangunan negara kekal berteraskan prinsip Malaysia Madani.
“Kalau kita perkenalkan satu disiplin baharu di Fakulti Pengajian Islam (namun) tak boleh ikut kerangka lama seperti jabatan, dekan.
“Dalam masa setahun, perubahan AI itu sudah tiga kali ganda. Bermakna perubahan itu berlaku di semua peringkat; di kementerian, di universiti, di fakulti, di jabatan,” katanya.
Majlis perasmian turut menyaksikan penyerahan sumbangan Program SISWA bernilai RM1.08 juta. Sumbangan ini melibatkan pemberian laptop kepada 20 orang pelajar di setiap IPT, membantu meningkatkan akses pendidikan digital dalam kalangan pelajar yang memerlukan.
Program SISWA ini ditaja oleh Yayasan Taqwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan Islam dan membantu golongan asnaf mencapai kecemerlangan akademik.
Konvensyen yang bertemakan “Pengajian Islam dan Peradaban Madani: Integrasi Ilmu dan Tindakan Sosial” ini dianjurkan bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), JAKIM, MDPI dan YADIM, dengan sokongan penaja termasuk Pejabat Timbalan Perdana Menteri, MAIWP dan Yayasan Taqwa serta ZUS Coffee.


