Oleh Khairatul Nadia Ramli.
KUALA LUMPUR, 3 Mac 2026 — Kajian kolaboratif yang diterajui oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati lebih satu per tiga wanita Malaysia yang menghidap Sindrom Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH) dilaporkan mengalami masalah kebimbangan dan kemurungan.
MRKH adalah keadaan sejak lahir yang jarang berlaku, di mana seseorang wanita tidak mempunyai rahim dan sebahagian saluran faraj, walaupun rupa luaran dan ciri wanita adalah normal. Kebanyakan pesakit hanya mengetahui keadaan ini apabila mereka tidak datang haid ketika remaja.
Kajian ini telah dijalankan oleh pasukan penyelidik dari UKM yang diketuai oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dari Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Dr. Loh Sweet Yi Esther bersama dengan Dr. Khailiyana Khairudin (Pakar O&G), Prof. Dr. Ani Amelia Dato’ Zainuddin dan Prof. Dr. Nur Azurah Abdul Ghani (Pakar Ginekologi Pediatrik & Remaja), Prof. Dr. Shamsul Azhar Shah (Pakar Perubatan Kesihatan Awam) serta Prof. Madya Dr. Tuti Iryani Mohd Daud (Pakar Psikiatri).
Hasil kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal perubatan antarabangsa pada tahun 2025 menerusi artikel yang bertajuk ‘Prevalence of Anxiety and Depression in Women with Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH) Syndrome in Malaysia’, sekaligus memberi gambaran jelas tentang cabaran kesihatan yang dihadapi oleh pesakit MRKH di negara ini.
Kajian tersebut melibatkan 77 wanita MRKH di seluruh Malaysia dengan purata umur sekitar 29 tahun. Kebanyakan mereka menerima diagnosis ketika berumur sekitar 20 tahun.
Menurut Dr. Esther, keputusan kajian menunjukkan kira-kira empat daripada 10 peserta mengalami simptom kebimbangan, manakala tiga daripada 10 menunjukkan tanda kemurungan.
“Ini menunjukkan sebahagian besar wanita MRKH berdepan tekanan emosi yang serius. Apabila seseorang menerima berita bahawa mereka tidak mempunyai rahim, kesannya bukan sahaja fizikal tetapi juga sangat mendalam dari segi perasaan dan keyakinan diri,” jelas beliau.
Kajian itu juga mendapati wanita MRKH daripada kumpulan berpendapatan rendah lebih mudah mengalami kemurungan berbanding mereka yang mempunyai pendapatan lebih tinggi. Peserta yang mengalami kebimbangan juga didapati lebih cenderung mengalami kemurungan pada masa yang sama.
Dr. Esther menegaskan bahawa pesakit MRKH bukan sahaja memerlukan rawatan perubatan, tetapi juga sokongan emosi dan kaunseling.
“Apabila diagnosis dibuat, pesakit memerlukan penerangan yang jelas, sokongan keluarga dan bantuan emosi.
“Sokongan ini sangat penting untuk membantu mereka menyesuaikan diri dan membina kehidupan yang positif,” katanya.
Beliau mencadangkan supaya pemeriksaan kesihatan emosi dibuat secara berkala kepada pesakit MRKH, dan sokongan psikologi disediakan sebagai sebahagian daripada penjagaan mereka.
Kajian ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa pesakit dengan keadaan jarang berlaku seperti MRKH memikul beban perasaan yang sering tersembunyi. Ekosistem sokongan dan empati adalah kunci utama untuk kesejahteraan menyeluruh mereka.
