Oleh Khairatul Nadia Ramli
KUALA LUMPUR, 4 Julai 2025 – Penyelidikan terbaharu oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati bahawa madu gelam, sejenis madu hutan tempatan, mempunyai potensi besar untuk membantu wanita menangani gejala-gejala menopaus secara semula jadi dan selamat.
Menopaus merupakan fasa semula jadi dalam kehidupan wanita yang lazimnya berlaku antara umur 45 hingga 55 tahun apabila tahap hormon estrogen menurun secara mendadak. Perubahan ini menyebabkan pelbagai gejala mengganggu seperti gangguan emosi, rasa panas melampau, gangguan tidur serta ketidakselesaan semasa hubungan intim akibat perubahan pada tisu vagina.
Menurut pakar Fisiologi dan Reproduktif UKM, Prof. Madya Dr. Mohd Helmy Mokhtar, kajian yang dijalankan menggunakan model haiwan menunjukkan kesan positif madu gelam dalam menangani simptom tersebut.
“Dalam kajian kami, tikus yang diaruh menopaus dan diberi madu gelam selama 14 hari menunjukkan peningkatan ketara dari segi struktur tisu rahim dan vagina. Kami juga dapati terdapat peningkatan paras estrogen dalam darah serta kesan yang menyerupai hormon estrogen, terutamanya dalam merangsang pembentukan salur darah baharu,” katanya.
Beliau berkata madu gelam merupakan sejenis madu hutan yang dihasilkan oleh lebah liar Apis dorsata, yang membina sarang di pokok gelam dan banyak ditemui di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Madu ini terkenal dengan kandungan antioksidan dan sifat anti-radang yang tinggi, menjadikannya antara madu tropika yang paling bernilai,” ujarnya.
Sementara itu, Pakar Fisiologi UKM, Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Ibrahim berkata kebimbangan terhadap kesan sampingan terapi hormon menjadikan madu gelam satu alternatif yang sangat bernilai untuk diteroka lebih lanjut.
“Ramai wanita berasa bimbang untuk mengambil terapi hormon jangka panjang kerana risiko kesan sampingan seperti kanser dan penyakit jantung.
“Oleh itu, kajian ini membuka ruang kepada penggunaan bahan semula jadi seperti madu Gelam sebagai pendekatan komplementari yang lebih selamat,” katanya.
Tambah beliau, sebatian bioaktif dalam madu gelam yang menyerupai tindakan hormon estrogen memberikan kesan terapeutik tanpa kesan sampingan yang lazim dikaitkan dengan terapi hormon konvensional.
Kajian ini telah diterbitkan dalam dua jurnal antarabangsa berimpak tinggi seperti Molecules dan Frontiers in Endocrinology, sekaligus mengukuhkan kredibiliti dapatan penyelidikan ini di peringkat antarabangsa.
“Walaupun kajian ini masih berada pada peringkat pra-klinikal menggunakan model haiwan, ia memberikan asas kukuh untuk kajian lanjutan berbentuk ujian klinikal pada manusia.
“Kajian tersebut bakal menentukan keberkesanan sebenar madu gelam dalam kalangan wanita menopaus serta potensi penggunaannya sebagai rawatan alternatif dalam sistem kesihatan moden,” katanya.
Beliau berkata penyelidikan yang dijalankan itu bukan sahaja menekankan kepentingan kesihatan wanita, tetapi juga menunjukkan bagaimana kekayaan biodiversiti tempatan, seperti madu hutan Malaysia, mampu menyumbang kepada penyelesaian inovatif dalam bidang perubatan.

Prof. Madya Dr. Mohd Helmy Mokhtar
Pensyarah & Pakar Fisiologi dan Reproduktif
Fakulti Perubatan, UKM
