Oleh Nur Afiqah Amani dan Chuah Tiong Li
Foto oleh Nurin Humairah, Wan Nur Batrisyia Laraseh dan Muhammad Alif Irfan
MANILA (FILIPINA), 5 Ogos 2025 – Seramai 31 mahasiswa dan staf Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membawa misi penuh makna dengan menyantuni 74 pesakit kanser kanak-kanak di Kythe Foundation, melalui program Syed Nasir CONNECTS 2025.
Program berimpak tinggi itu dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Ateneo de Manila dan Kythe Foundation, sebuah organisasi terkenal yang memberikan sokongan psikososial kepada pesakit muda dan keluarga mereka.
Pengetua KTSN, Prof. Madya Dr. Mohd Razif Shahril berkata program itu bukan hanya lawatan sukarelawan semata-mata, tetapi ia adalah perjalanan jiwa yang membuka mata, membentuk karakter dan menyedarkan pelajar bahawa ilmu sebenar juga lahir dari sentuhan kemanusiaan.
“Dalam suasana penuh kasih, harapan dan empati, pelajar UKM berinteraksi secara langsung dengan pesakit dan keluarga melalui pelbagai aktiviti seperti terapi permainan, seni ekspresif dan sokongan emosi.
“Keterlibatan ini memberi pengalaman transformatif kepada para pelajar, mengasah keprihatinan sosial, kemahiran insaniah dan kepemimpinan berasaskan nilai,” katanya.
Pengarah Program Syed Nasir CONNECTS 2025, Cheah Sheng Zhong berkata pengalaman yang dilalui oleh mahasiswa KTSN itu adalah pengalaman seumur hidup yang menyemai empati dan kekuatan jiwa.
“Melalui aktiviti ini, kami (mahasiswa) bukan sahaja dapat memupuk empati dan keprihatinan sosial, malah berpeluang mendekati realiti kehidupan pesakit dalam suasana yang penuh kasih sayang dan hormat menghormati,” ujarnya.
Program Syed Nasir CONNECTS 2025 adalah salah satu inisiatif mobiliti antarabangsa yang mendapat sokongan penuh daripada UKM Global dan Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM). Program ini menjadi simbol kerjasama dua institusi pendidikan tinggi dalam menyemai nilai kemanusiaan rentas sempadan.
Program yang turut disertai oleh pegawai dari UKM, Universiti Ateneo de Manila dan Kythe Foundation telah memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Filipina dalam bidang pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti.
Melalui program Syed Nasir CONNECTS 2025, semua delegasi UKM turut diberi peluang menimba ilmu di The Medical City, salah satu pusat perubatan swasta terkemuka di Asia yang terkenal dengan inovasi, kepakaran multidisiplin, dan pendekatan holistik dalam penjagaan pesakit.
Lawatan ke pusat perubatan itu memberi pendedahan langsung kepada sistem penjagaan kesihatan bertaraf antarabangsa, di samping membuka ruang diskusi antara pelajar dan tenaga profesional dalam bidang sains kesihatan dan perubatan.
Di samping itu, delegasi UKM turut dibawa meneroka warisan budaya dan sejarah Filipina menerusi lawatan ke beberapa lokasi bersejarah di Kota Manila.
Lebih daripada sekadar program mobiliti antarabangsa, Syed Nasir CONNECTS 2025 membuktikan bahawa pelajar Malaysia mampu menjadi agen perubahan global yang berjiwa besar, berintelek tinggi dan berperanan aktif dalam membina masa depan yang lebih baik untuk semua.



