MET Malaysia, IPI UKM Bangunkan Sistem Analisis Pencemaran Udara

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 31 Mac 2026 –  Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dengan kerjasama Institut Perubahan Iklim (IPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Model Air Quality Monitoring – Community Multiscale Air Quality (CMAQ) sempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026.

Sistem CMAQ merupakan satu model bagi menganalisis sumber pencemaran udara dan jerebu secara pantas dan tepat di samping mengeluarkan amaran awal yang komprehensif.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup berkata pembangunan model ini menggunakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

“Masalah jerebu adalah isu tahunan dan kebanyakannya berada di luar kawalan negara. Selain itu, letusan gunung berapi di negara jiran juga boleh menjejaskan kualiti udara kita.

“CMAQ akan menjadi ‘mata’ kita dalam mengesan zarah pencemaran di ruang udara.

“Ia akan membantu agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk bertindak lebih awal dalam menghadapi ancaman jerebu atau pencemaran udara merentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh berkata sistem ramalan ini menyumbang kepada usaha amaran awal untuk melindungi orang awam, terutamanya golongan rentan, serta membantu pihak berkuasa mengurus kualiti udara.

“Sistem ini tidak hanya dimanfaatkan di Malaysia, malah turut akan diguna-pakai di peringkat negara-negara di rantau ASEAN,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kerjasama MET Malaysia bersama IPI memainkan peranan proaktif dalam membantu negara dan bangsa menghadapi cabaran iklim yang sedang memberi kesan kepada pelbagai sektor.

“Hasil usahasama ini membuktikan bahawa melalui kolaborasi yang kukuh, inovasi berteraskan kepakaran tempatan juga berprestasi unggul dan setanding dengan teknologi kelas dunia,” katanya.

Hari Meteorologi Sedunia tahun ini disambut sambil memperingati Ulang Tahun ke-68 keahlian Malaysia dalam Pertubuhan Meterologi Sedunia (WMO).

Tema sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026, Pemantauan Hari Ini, Perlindungan Hari Esok (Observing Today, Protecting Tomorrow), menekankan kepentingan sistem pemantauan dan amaran awal sebagai asas perlindungan masa hadapan negara daripada risiko perubahan iklim dan kejadian cuaca ekstrem.

Leave a Reply