Gangguan tekanan darah tinggi semasa kehamilan merupakan masalah kesihatan yang kian membimbangkan. Dalam dunia perubatan, keadaan ini dikenali sebagai Hypertensive Disorders of Pregnancy (HDP).
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), HDP ialah antara punca utama kematian ibu di seluruh dunia. Dianggarkan 80,000 wanita meninggal dunia setiap tahun akibat komplikasi tekanan darah tinggi semasa mengandung, manakala lebih enam juta lagi berdepan risiko komplikasi serius seperti sawan dan kegagalan organ.
Di Malaysia, laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 menunjukkan 6.5 peratus ibu hamil mengalami HDP, dan peratusan ini dijangka meningkat sejajar dengan peningkatan umur perkahwinan, obesiti, serta gaya hidup sedentari dalam kalangan wanita moden.
Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Ahmad, Pensyarah dan Pakar Klinikal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, menjelaskan pra-eklampsia merupakan bentuk HDP yang paling serius dan sering muncul selepas minggu ke-20 kehamilan atau dalam jangka masa enam minggu selepas bersalin.
Menurutnya, ramai ibu tidak menyedari mereka mengalami tekanan darah tinggi ketika mengandung kerana pada peringkat awal, gejalanya tidak ketara.
“Selain itu kebanyakkan mereka tidak mempunyai sejarah tekanan darah tinggi sebelum hamil.
“Inilah yang menjadikan pra-eklampsia berbahaya kerana ia bermula dalam diam, tetapi boleh bertukar menjadi kecemasan dalam sekelip mata,” katanya.
Ia dicirikan oleh tekanan darah tinggi dan kehadiran protein dalam air kencing (proteinuria), jelasnya.
Namun, tanda-tanda awalnya sering disalah tafsir sebagai perkara biasa semasa mengandung, terutama jika tiada simptom utama seperti sakit kepala, mual dan muntah serta sakit ulu hati, jelas Dr. Mohd Faizal.
“Selain itu, kebanyakan ibu tidak mengesyaki apa-apa apabila mengalami bengkak kaki, tangan, atau muka, walhal itu mungkin tanda awal pra-eklampsia sekiranya disulami dengan darah tinggi dan proteinuria.
“Sekiranya pre eklmasia ini jelas berlaku, antara gejala utama ialah ibu hamil akan mengalami sakit kepala teruk, penglihatan kabur, sakit di bahagian atas perut, dan peningkatan berat badan secara mendadak.
“Dalam kes yang parah, pra-eklampsia boleh menyebabkan sawan (eklampsia), koma, atau kegagalan organ seperti hati dan buah pinggang.
“Pra-eklampsia yang tidak dikesan atau tidak dirawat dari peringkat awal boleh membawa maut kepada ibu dan bayi.
“Dalam kes serius, walaupun kita mampu ibu terselamat, komplikasinya menyebabkan kelahiran pramatang yang sangat kritikal menyebabkan tumbesaran alami terjejas, atau pertumbuhan janin yang terbantut, dan yang paling menyedihkan kematian bayi di dalam kandungan,” kata Dr. Mohd Faizal.
KESAN KEPADA BAYI
Kebanyakan ibu bapa tahu pra-eklampsia boleh membahayakan ibu, tetapi tidak ramai menyedari kesannya terhadap bayi boleh berlanjutan hingga dewasa.
Kajian antarabangsa menunjukkan bayi yang dilahirkan oleh ibu dengan pra-eklampsia mempunyai risiko kematian neonatal 26 peratus lebih tinggi berbanding bayi daripada kehamilan normal.
Lebih membimbangkan, penyelidikan dari Norway dan beberapa negara Eropah mendapati anak-anak kepada ibu pra-eklampsia mempunyai tekanan darah, indeks jisim badan (BMI), dan ukur lilit pinggang yang lebih tinggi apabila dewasa.
Menurut Pensyarah Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan UKM, Dr. Adila A. Hamid, hal ini bermakna risiko bayi untuk menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, dan penyakit jantung meningkat sejak dari dalam kandungan lagi.
“Persekitaran dalam rahim memainkan peranan penting dalam menentukan kesihatan anak sepanjang hayat.
“Jika janin membesar dalam keadaan tekanan darah ibu tidak stabil, sistem saluran darah mereka mungkin turut ‘terprogram’ untuk menjadi lebih sensitif kepada tekanan darah tinggi,” jelas Dr. Adila.
Tambahnya dari sudut fisiologi, pra-eklampsia berpunca daripada gangguan pada pembentukan saluran darah di dalam uri (plasenta).
Biasanya, semasa kehamilan, saluran darah di uri akan berkembang bagi memastikan bekalan darah dan oksigen mencukupi untuk janin.
Namun, dalam kehamilan pra-eklampsia, proses ini gagal berlaku dengan sempurna.
“Akibatnya, uri tidak mendapat aliran darah yang baik, lalu menghasilkan bahan toksik dan radikal bebas yang memasuki peredaran darah ibu.
“Bahan-bahan ini mencetuskan tindak balas keradangan dan merosakkan lapisan dalam saluran darah (endotelium), menyebabkan tekanan darah meningkat.
“Kerosakan ini bukan sahaja memberi kesan kepada ibu, malah mengganggu pertumbuhan jantung dan saluran darah bayi,” katanya.
Menurutnya, kajian selama 20 tahun menunjukkan bayi pramatang akibat pra-eklampsia mempunyai saluran darah lebih tebal dan kurang anjal yang merupakan tanda awal penyakit jantung.
Selain itu, mereka juga mempunyai pengeluaran nitrik oksida (NO) yang lebih rendah iaitu bahan penting untuk mengekalkan keanjalan saluran darah dan tekanan darah normal, jelasnya.
Dr. Adila berkata bahaya pra-eklampsia tidak berakhir selepas bayi dilahirkan.
“Walaupun tekanan darah ibu mungkin kembali normal, risiko jangka panjang masih ada.
“Penyelidikan menunjukkan wanita yang pernah mengalami pra-eklampsia mempunyai risiko dua kali ganda untuk menghidap tekanan darah tinggi dan penyakit jantung dalam tempoh 5 hingga 15 tahun selepas bersalin.
“Pra-eklampsia bukan sekadar penyakit kehamilan. Penyakit ini merupakan petunjuk bahawa tubuh seseorang wanita mungkin mempunyai kecenderungan terhadap penyakit kardiovaskular pada masa depan.
“Malah, bayi yang lahir dari kehamilan pra-eklampsia juga perlu diberi perhatian khas dalam pemeriksaan kesihatan berkala, termasuk pemantauan tekanan darah dan berat badan sejak usia kanak-kanak,” katanya.
PERANAN PEMERIKSAAN ANTENATAL DAN GAYA HIDUP SIHAT
Pemeriksaan antenatal berkala di klinik kerajaan atau swasta sangat penting untuk mengesan pra-eklampsia lebih awal.
Bacaan tekanan darah dan ujian air kencing yang dilakukan setiap kali lawatan bukanlah formaliti semata-mata, tetapi merupakan langkah pencegahan utama.
“Ibu yang berisiko tinggi seperti yang mempunyai berat badan berlebihan, berumur lebih 35 tahun, mempunyai sejarah keluarga pra-eklampsia, atau kehamilan pertama amat memerlukan pemantauan rapi.
“Selain itu, gaya hidup sihat sebelum dan semasa hamil turut memainkan peranan besar.
“Pengambilan makanan seimbang, kawalan berat badan, senaman ringan yang sesuai, dan pengambilan asid folik serta kalsium yang mencukupi dapat membantu mengurangkan risiko.
“Kesihatan ibu adalah pelaburan jangka panjang untuk anak. Kehamilan yang sihat bukan hanya melahirkan bayi sihat, tetapi juga membentuk generasi yang bebas daripada penyakit kronik,” jelas Dr. Adila.
Katanya, walaupun maklumat kesihatan kini mudah diakses, tahap kesedaran tentang pra-eklampsia masih rendah dalam kalangan masyarakat.
“Ramai wanita lebih memberi tumpuan kepada ujian darah, vitamin, atau persiapan kelahiran, tetapi mengabaikan pentingnya pemeriksaan tekanan darah secara konsisten,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kempen kesedaran mengenai pra-eklampsia perlu diperluas bukan sahaja kepada wanita hamil, tetapi juga kepada pasangan, keluarga, dan masyarakat supaya semua pihak memainkan peranan dalam memastikan kehamilan yang sihat dan selamat.

Dr. Adila A. Hamid
Pensyarah, Jabatan Fisiologi, Fakulti Perubatan, UKM

Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Bin Ahmad
Pensyarah dan Pakar Klinikal, Jabatan Obstetrik & Ginekologi Fakulti Perubatan, UKM
