Oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 18 September 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) menganjurkan Program Gempita Istana Puteri Bongsu bagi meraikan warisan seni budaya Melayu melalui integrasi dengan pendidikan, penyelidikan dan inovasi.
Program selama tiga hari ini menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan penyelidikan, pendidikan, kebudayaan dan khidmat masyarakat dengan matlamat memperkukuh keterlihatan warisan Melayu di era digital.
Antara elemen yang diketengahkan ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan realiti terimbuh (Augmented Reality) dalam usaha melestarikan nilai warisan.
Aktiviti utama termasuk Projek Penanaman Pokok bersama rakan strategik seperti Jabatan Muzium Malaysia, British Council dan Majlis Perbandaran Kajang, serta Pameran Interaktif Kelingkan dan Wayang Kulit yang mempersembahkan keindahan tekstil tradisional dan seni persembahan warisan.
Selain itu, program turut menyaksikan majlis menandatangani surat hasrat (LOI) antara ATMA dan Politeknik Metro Kuala Lumpur (PMKL), yang membuka peluang kepada felo penyelidik serta pegawai ATMA untuk menjadi penyelia bersama bagi projek pelajar PMKL.
Pengarah Pusat IDEA-UKM, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal berkata UKM sentiasa komited untuk mendukung usaha memartabatkan ilmu dan warisan bangsa.
“Seiring aspirasi Malaysia Madani, UKM akan terus berganding bahu dengan semua pihak agar warisan Melayu kekal relevan, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan, tetapi juga di persada dunia.
“Program ini amat istimewa kerana ia bukan sekadar meraikan warisan seni budaya Melayu seperti kelingkan-tapestry dan wayang kulit, tetapi mengangkatnya ke tahap lebih tinggi melalui integrasi dengan pendidikan, penyelidikan dan inovasi,” katanya.
Selaras dengan hasrat UKM menjadikan Taman Pantun sebagai Hab Warisan Digital Alam Melayu, program ini dirangka untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Kualiti Pendidikan), SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), SDG 11 (Pembangunan Bandar dan Komuniti Lestari), serta SDG 17 (Bersama Mencapai Matlamat).
Penganjuran ini turut mendapat dukungan pelbagai pihak termasuk Politeknik Metro Kuala Lumpur, Majlis Perbandaran Kajang, Jabatan Muzium Malaysia, British Council, UNESCO, WCO serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Kolaborasi ini bukan sahaja memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi, tetapi juga membuka ruang bagi masyarakat untuk sama-sama merasai pengalaman warisan secara fizikal dan digital.
Program Gempita Istana Puteri Bongsu 2025 mencerminkan usaha UKM dan ATMA dalam memperkasakan warisan budaya Melayu dengan pendekatan lestari dan inklusif, seiring aspirasi Malaysia Madani.


