Oleh: Prof Madya Dr. Nor Azian Abdul Murad dan Mohd Raziff Alias
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) tahun 2023 mendapati 2.5 peratus individu dewasa di Malaysia mempunyai empat penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, kolesterolemia (kolesterol tinggi di dalam darah) dan obesiti. Trend obesiti NHMS antara tahun 2011 hingga tahun 2023 juga meningkat dengan ketara daripada 44.5 peratus pada tahun 2011 kepada 54.4 peratus tahun 2023. Peningkatan ini perlu ditangani dengan bijak supaya beban kesihatan dan kewangan disebabkan penyakit NCD di Malaysia dapat dikurangkan.
Menyedari peningkatan ini, Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Forum Kesedaran Obesiti: Risiko dan Intervensi melalui Program Pendayaan Komuniti Kementerian Kewangan – Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI). Program kesedaran obesiti dan intervensi melalui aktiviti fizikal, diet dan penggunaan ubatan merawat obesiti diadakan bagi memberi pemahaman kepentingan dan kebaikan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan meningkatkan kesedaran berkenaan obesiti kepada komuniti.
Tujuan utama program ini adalah bagi melaksanakan program pembangunan komuniti berteraskan inovasi sosial, memperbanyakkan interaksi antara Universiti Awam (UA) dan masyarakat agar manfaat dan sumbangan UA dapat benar-benar dirasai masyarakat setempat dan meningkatkan keberadaan UA dalam kalangan masyarakat dengan memberi manfaat secara langsung.
Definisi berat badan berlebihan
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berat badan berlebihan dan obesiti adalah keadaan apabila individu mempunyai indeks jisim tubuh (IJT) atau Body Mass Index (BMI) melebihi 25-29.9 kg/m2 dan BMI melebihi 30 kg/m2 diklasifikasi sebagai obesiti, bagi populasi dia Asia. Obesiti akan meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) yang lain seperti diabetes, penyakit jantung, darah tinggi serta kanser.
Komuniti@UniMADANI
Melalui Komuniti@UniMADANI, program intervensi obesiti ini memberikan manfaat kepada seramai 427 orang peserta, sekali gus mencapai objektif yang disasarkan. Para peserta menerima saringan kesihatan secara percuma, termasuk ujian biokimia seperti tahap glukosa dan profil lipid, pemeriksaan tekanan darah serta penilaian komposisi tubuh badan terperinci menggunakan mesin In-Body. Bagi peserta yang berhasrat menurunkan berat badan, mereka akan mengikuti pelbagai intervensi yang dirancang secara berstruktur. Ini merangkumi pengawalan diet, aktiviti fizikal yang sesuai mengikut tahap kesihatan dan usia, serta rawatan perubatan menggunakan ubat Contrave bagi mereka yang layak.
Program ini berlangsung selama empat bulan, di mana peserta dikehendaki menjalani ujian saringan kesihatan dan mengisi borang soal selidik pada permulaan program. Dalam tempoh empat bulan, peserta akan dibekalkan dengan informasi diet sihat, aktiviti fizikal yang bersesuaian serta pelbagai lagi informasi dan motivasi gaya hidup sihat. Kesemua informasi ini adalah dalam bentuk digital (video, infografik dan poster) yang dikongsikan secara harian melalui aplikasi kumpulan Whatsapp supaya para peserta boleh melaksanakan semua aktiviti intervensi secara terpandu mengikut kebebasan ruang waktu masing-masing.
Selepas empat bulan peserta dipanggil semula untuk menjalani ujian saringan kesihatan dan melengkapkan borang soal selidik untuk menilai keberkesanan intervensi. Pada selang waktu yang sesuai, sesi interaksi bersama pakar diet serta aktiviti fizikal berkala turut diadakan bertujuan meningkatkan lagi pengetahuan peserta tentang diet sihat dan aktiviti kecergasan yang sesuai.
Kebanyakan peserta program adalah dalam kalangan wanita iaitu sebanyak 54.3 peratus, manakala lelaki adalah sebanyak 45.7 peratus. Bagi ujian antropometri, nisbah ukur lilit pinggang dan BMI adalah melebihi paras normal bagi kedua-dua jantina. Bagi nisbah ukur lilit pinggang-punggul, hanya peserta lelaki yang menunjukkan bacaan normal. Bagi ukuran komposisi tubuh badan, melalui purata peratus lemak badan, keluasan kawasan lemak viseral adalah tinggi bagi kedua-dua kumpulan peserta. Purata jisim otot skeletal bagi lelaki dan wanita adalah tinggi dan membuktikan bahawa jisim otot skeletal dalam badan adalah mencukupi dan normal.
Penyakit tidak berjangkit
Obesiti meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan hiperkolesterolemia. Peserta program ini yang mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti telah menghidap penyakit hiperkolesterolemia, dengan nilai purata kolesterol jumlah (TC) dan kolesterol berketumpatan rendah (LDL-C) yang melebihi paras normal bagi kedua-dua lelaki dan wanita. Mereka juga mempunyai tekanan darah tinggi, sama ada peringkat awal atau telah menghidapi darah tinggi, melalui ujian tekanan darah. Manakala, penunjuk paras purata glukosa dan HbA1C bagi pemantauan kencing manis masih berada di tahap yang terkawal bagi kedua-dua kumpulan peserta.

