Program Neon ZapinRobik@UKM Terima Pengiktirafan Malaysia Book of Records

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 1 Oktober 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta sejarah melalui program Neon ZapinRobik@UKM yang mengumpulkan seramai 4,351 peserta, sekaligus meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Largest Participation in A Zapin Aerobic Program”.

Program ini merupakan anjuran Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) dengan kerjasama Pusat kebudayaan UKM dan Pusat Sukan UKM yang menggabungkan tarian tradisional Melayu zapin dengan elemen moden aerorobik serta persembahan visual neon.

Menurut penyelaras program, Dr. Nurwina Akmal Anuar, acara yang berlangsung sempena Minggu Apresiasi Watan (MAW) UKM ini berjaya menarik minat pelajar baharu dan menghidupkan kembali seni warisan dalam bentuk kontemporari.

“Gabungan gerakan zapin tradisional dengan elemen aerobik bukan sahaja mempersegar budaya, malah memperkasa masyarakat dengan gaya hidup sihat, aktif dan menyeronokkan.

“Ia membuktikan bahawa kecergasan fizikal boleh menjadi jambatan yang menyatukan seni, identiti  dan kesejahteraan.

“Program ini juga menjadi wadah pendidikan budaya yang menggalakkan pelajar mengenali warisan bangsa melalui pergerakan fizikal yang aktif dan sihat.

“Ia menyatukan kecergasan dan seni tradisi dalam satu bentuk pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Inklusif) HEP-UKM berkata, pengiktirafan ini memperkukuhkan kedudukan UKM sebagai institusi yang menonjolkan warisan dan budaya tempatan dalam pelbagai aktiviti.

“Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama UKM, tetapi juga memperkukuh usaha memartabatkan zapin sebagai sebahagian daripada identiti budaya bangsa.

“Selain mengangkat warisan, zapin turut memberi peluang pelajar bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Pada acara tersebut, Pengarah HEP-UKM, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni menerima pengiktirafan daripada pegawai MBOR, En Edwin Yeoh Tiong Chin.

Leave a Reply