Rumah Pelajar Musnah dalam Kebakaran, UKM Hulur Bantuan

BANGI, 29 Julai 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menzahirkan keprihatinan dengan menyampaikan bantuan awal bencana kepada  pelajar Tahun 2, Fakulti Sains Kesihatan, Rosalia Huda Mohd Isa yang diuji dengan musibah kebakaran pada 19 Julai lalu yang memusnahkan rumahnya di Batu 5, Gombak.

Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM), yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman semasa lawatan itu berkata bantuan tersebut bukan sekadar bantuan material, malah turut membawa nilai empati dan sokongan moral.

“Bantuan ini adalah  sebagai pendahuluan untuk meringankan beban Rosalia Huda dan keluarga untuk memulakan semula hidup yang baharu dan jika masih perlu keperluan pembelajaran dan sebagainya, pihak HEP dan zakat UKM akan sedia bantu,” ujar beliau.

Beliau berkata HEP-UKM akan memantau keperluan pelajar itu dari semasa ke semasa, termasuk penyediaan sokongan psikososial melalui Unit Kaunseling serta pertimbangan bantuan susulan mengikut keperluan semasa pelajar.

“UKM akan terus komited bagi memastikan tiada pelajar yang menghadapi kesusahan terlepas daripada menerima bantuan sewajarnya.

“Bantuan ini bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tetapi juga lambang solidariti dan sokongan moral warga UKM kepada Rosalia Huda dan keluarganya,” katanya.

Dalam lawatan tersebut, pihak UKM telah menyampaikan bantuan kewangan sebanyak RM5,600 kepada Rosalia Huda. Bantuan itu adalah hasil sumbangan daripada Tabung Kebajikan Siswa UKM dan dana Zakat UKM, yang bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar dan keluarganya dalam tempoh krisis ini.

Sementara itu, Roslia Huda menceritakan bahawa semasa kebakaran berlaku dia berada di rumah bersama anaknya, manakala suaminya tiada di rumah. Ibu bapanya pula berada di kampung halaman mereka di Johor.

“Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa barangan penting seperti beg tangan, dompet, telefon bimbit, komputer riba, serta surat beranak anaknya sebelum asap tebal memenuhi ruang rumah dan menyukarkan pergerakan.

“Saya sempat masuk sekali sahaja. Masa cuba masuk kali kedua, asap dah sampai paras muka. Saya tahu saya tak boleh ambil apa-apa lagi,” katanya.

Beliau berkata penduduk setempat bertindak pantas dengan cuba memadamkan api menggunakan sumber air yang ada sebelum bomba tiba, namun usaha tersebut berdepan kekangan apabila tekanan air rendah menyebabkan hanya dua semburan air berjaya dilakukan sebelum bekalan air terputus.

Leave a Reply