Saringan Awal dan Pendidikan Kesihatan Penting Kurangkan Risiko Kanser Wanita

Oleh Khairatul Nadia Ramli
Foto Fakulti Perubatan

SUBANG JAYA, 12 Disember 2025 – Saringan awal dan pendidikan kesihatan adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko kanser wanita.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) serta Perunding Ginekologi Onkologi dari Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohamad Nasir Shafiee berkata usaha berterusan dalam pencegahan, saringan awal dan pendidikan kesihatan awam memainkan peranan kritikal dalam mengurangkan kadar kematian akibat kanser wanita di negara ini.

Menurut Prof Dr Nasir, kanser payudara kekal menjadi penyumbang utama kepada morbiditi dan mortaliti wanita di Malaysia, manakala kanser serviks pula merupakan antara penyakit yang paling boleh dicegah melalui saringan dan vaksinasi.

Beliau menjelaskan bahawa jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) dikenal pasti sebagai penyebab lebih 90 peratus kes kanser serviks, namun kesedaran wanita terhadap kepentingan saringan HPV dan ujian pap smear masih berada pada tahap sederhana.

“Walaupun Malaysia mempunyai rekod cemerlang dalam pelaksanaan program vaksinasi HPV peringkat sekolah di Asia, namun realitinya masih ramai yang tidak cakna tentang keberkesanan vaksin ini, yang boleh mencegah kanser serviks sehingga 97 peratus.

“Pandemik covid-19 yang melanda dunia sekitar tahun 2020 dan 2021  juga memberikan impak terhadap kelangsungan program vaksinasi HPV di sekolah yang mana dianggarkan seramai 225,000 pelajar tidak melengkapkan vaksinasi mereka. 

“Oleh yang demikian, ‘catch-up’ program adalah penting dalam menjejaki pelajar-pelajar yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk Cancer and Women sempena Program 10th Anniversary Cancer Fundraising Initiative Seminar anjuran Fuel for Love for Fighters bersama Koperasi Semarak Harapan Berhad, baru-baru ini.

Seminar yang menghimpunkan hampir 200 peserta terdiri daripada pesakit, ‘survivor’, ahli keluarga, masyarakat serta pengamal kesihatan di Dorsett Grand Subang dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Dalam syarahan itu, Prof Dr Nasir menyatakan bahawa liputan vaksinasi HPV sebelum ini berjaya menurunkan kes pra-kanser dalam kalangan wanita yang menerima vaksin pada usia sekolah menengah.

Namun, katanya usaha kesedaran perlu diperkukuh terutama dalam kalangan wanita dewasa yang belum divaksin atau tidak menjalani saringan berkala.

Selain kanser serviks dan payudara, Prof. Dr. Nasir turut menyentuh beberapa isu penting kesihatan wanita seperti endometriosis, sindrom ovari polisistik (PCOS), masalah hormon, dan kanser ovari. Menurutnya, banyak simptom ginekologi sering dianggap biasa oleh wanita, seperti senggugut teruk, haid tidak teratur atau kembung berpanjangan, sedangkan ia boleh menjadi tanda awal penyakit yang lebih serius.

“Gejala yang tidak spesifik menyebabkan ramai pesakit datang lewat untuk diagnosis. Pendidikan kesihatan wanita perlu diperkukuhkan agar mereka memahami tubuh sendiri dan dapat mengenal pasti tanda-tanda amaran lebih awal,” jelas beliau.

Dalam syarahannya, Prof Dr Nasir turut menekankan kepentingan pendekatan rawatan holistik bagi pesakit kanser. Menurut beliau, rawatan bukan sahaja melibatkan aspek klinikal seperti pembedahan, kemoterapi atau radioterapi, tetapi juga memerlukan sokongan psikologi, sosial, emosi dan spiritual bagi memastikan pesakit dapat melalui proses rawatan dengan lebih baik.

Kata beliau, kajian penyelidikan juga menunjukkan hampir 60 peratus pesakit mengalami masalah kewangan serius selepas didiagnosa kanser ginekologi dan 30 petaus mengalami bankrupsi.

Seminar Fuel for Love for Fighters merupakan platform komuniti yang memberi ruang kepada pesakit kanser untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan sokongan profesional dan memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pencegahan dan intervensi awal.

Program ini turut menampilkan gabungan ceramah kesihatan, sesi motivasi, pameran perkhidmatan sokongan, serta aktiviti bersama sukarelawan untuk membantu meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai cabaran yang dihadapi pesakit dan keluarga.

Leave a Reply