Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 15 Oktober 2025 — Seminar Kebangsaan Fiqh Dakwah dalam Malaysia Madani anjuran Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menumpukan perbincangan kepada peranan fiqh dakwah dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat seiring dengan aspirasi Malaysia Madani.
Seminar ini bertujuan merungkai pendekatan fiqh dakwah kontemporari yang relevan dengan aspirasi Malaysia Madani, membincangkan cabaran praktikal yang dihadapi para pendakwah, serta mencetuskan idea dan penyelesaian inovatif dalam metodologi dakwah.
Pengarah Yayasan Canselor, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat berkata dakwah pada hari ini tidak lagi boleh dilihat dengan kaca mata yang sempit dan rigid.
“Dakwah memerlukan kefahaman Fiqh Awlawiyyat (keutamaan), Fiqh Maqasid (memahami tujuan syariah), dan Fiqh Muwazanat (menimbang antara maslahat dan mafsadah).
“Dalam konteks Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan budaya, pendekatan dakwah perlu lebih bijaksana, inklusif dan penuh dengan hikmah kebijaksanaan,” katanya.
Menurutnya, konsep Madani yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri menekankan enam tonggak utama iaitu kesejahteraan, kemakmuran, kreativiti, hormat, keyakinan dan ihsan.
“Nilai-nilai ini selari sepenuhnya dengan ajaran Islam yang universal.
“Malaysia Madani adalah sebuah visi untuk membina sebuah masyarakat yang bukan hanya maju dari sudut material, tetapi juga unggul dari sudut spiritual dan akhlak.
“Di sinilah, fiqh dakwah memainkan peranan yang sangat kritikal. Dakwah adalah nadi yang memastikan nilai-nilai murni seperti ihsan, hormat, dan keyakinan dapat disemai dan disubur dalam jiwa rakyat,” katanya.
Beliau berharap agar hasil daripada seminar ini akan lahir satu ‘Dokumen Fiqh Dakwah Malaysia Madani’ atau satu kerangka panduan yang boleh dijadikan rujukan kepada semua.

