TEKAD 57 UKM Garis Hala Tuju ke Arah 100 Tahun Kemerdekaan Malaysia

Oleh Murniati
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 3 April 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menetapkan hala tuju strategik menerusi TEKAD 57  2026-2030 dengan matlamat menjadikan universiti sebagai pemangkin pembangunan negara ke arah 100 tahun kemerdekaan Malaysia menjelang 2057.

Naib Canselor, Prof Dato Dr Sufian Jusoh berkata inisiatif ini merupakan aspirasi UKM untuk menyumbang ke arah pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara maju, berteknologi tinggi, aman, berintegriti serta beridentiti kebangsaan.

Beliau menjelaskan bahawa tempoh 2026 hingga 2030 merupakan fasa pertama dalam perjalanan menuju 100 tahun kemerdekaan Malaysia, sekali gus menuntut universiti bertindak lebih proaktif dalam menghadapi cabaran global.

“Universiti perlu melaksanakan strategi yang jelas dan berfokus bagi menangani cabaran semasa dan masa hadapan, termasuk konflik global melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi yang mampu menghasilkan penemuan baharu serta penyelesaian kepada keperluan industri.

“Hasil penyelidikan yang berjaya dikomersialkan serta daya tarikan akademik universiti akan membantu menjana sumber pendapatan yang pelbagai, sekali gus memastikan kemampanan kewangan institusi dalam jangka panjang.

“Universiti tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan atau yuran semata-mata, sebaliknya perlu mengambil inisiatif sendiri melalui kolaborasi strategik dengan industri, agensi kerajaan dan rakan antarabangsa bagi memastikan kemapanan ekonomi,” jelasnya.

Tambahnya, pelan strategik TEKAD 57 dibangunkan melalui siri perbincangan bersama pengurusan tertinggi, dekan, pengarah dan staf universiti, termasuk sesi libat urus bersama masyarakat bagi memastikan pelan tersebut bersifat inklusif dan menyeluruh.

“Lebih 1,300 pandangan telah dikumpulkan dan dirumuskan kepada 23 tema utama supaya pelan ini benar-benar mencerminkan aspirasi warga UKM,” katanya.

Sufian berkata TEKAD 57 disusun secara bottom-up bagi memastikan setiap lapisan warga universiti dapat menyumbang idea dan pandangan terhadap hala tuju UKM, di samping selari dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035.

“Kedudukan UKM di peringkat global serta kejayaan beberapa bidang seperti Fakulti Pengajian Islam dalam QS World University Rankings (WUR) dan bidang Undang-Undang dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings membuktikan UKM berada di landasan yang tepat dalam menerajui pembangunan negara,” katanya.

Leave a Reply