Oleh Murniati Abu Karim
Foto KOMUNIKASI UKM
BANGI, 22 November 2025 – Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah agar UKM jalani proses perubahan dalam tatakelola serta pentadbiran.
Titah baginda, bagi meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai, UKM perlu terus dipimpin oleh mereka yang berintegriti tinggi dan beramanah.
“Kejayaan yang telah dikecapi akan musnah sekiranya para pentadbir universiti mengambil kesempatan di atas kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi.
“Beta menyeru semua pihak berwajib supaya lebih sensitif dan sentiasa mengambil tindakan yang cepat terhadap pihak yang terlibat dalam perbuatan salah laku.
“Pelantikan pengurusan tertinggi universiti mestilah melibatkan calon yang layak dan bertanggungjawab.
“Pemimpin yang terlibat dengan salah laku tidak layak mentadbir sesebuah universiti, lebih-lebih lagi UKM yang menjunjung falsafah Ilmu, Mutu dan Budi,” titah Tuanku Muhriz di Majlis Konvokesyen ke-53 UKM.
Baginda juga menyarankan agar Kementerian Pendidikan Tinggi supaya sentiasa menyokong usaha pembaharuan di UKM.
Pada majlis ini juga, Tuanku Canselor telah memberikan perkenan untuk menubuhkan Kursi Diraja Canselor Tuanku Muhriz Integriti dan Tadbir Urus Baik.
Kursi ini disandang oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bekas Ketua Hakim Negara merangkap Professor of Practice di Fakulti Undang-undang UKM.

