Oleh Melor Suria Minhat
Foto Izwan Azman
BANGI, 9 Mac 2026 – Seramai tujuh anggota Polis Bantuan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima kenaikan pangkat dalam Majlis Pemakaian Pangkat, Penyerahan Sijil Tamat Latihan dan Kad Kuasa Polis Bantuan yang diadakan di kampus UKM, baru-baru ini.
Majlis itu turut menyaksikan seramai 25 anggota menerima Sijil Tamat Latihan dan pelantikan, manakala 28 lagi menerima Kad Kuasa Polis Bantuan sebagai simbol pelantikan rasmi dalam melaksanakan tugas keselamatan di universiti.
Penganjuran majlis tersebut bertujuan menghargai prestasi serta komitmen anggota Polis Bantuan UKM yang menunjukkan kecemerlangan dalam aspek perkhidmatan, kepimpinan dan disiplin sepanjang menjalankan tugas.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh dalam ucapannya berkata keselamatan kampus merupakan teras penting bagi memastikan kelangsungan aktiviti akademik, penyelidikan serta kehidupan warga universiti dapat berlangsung dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.
“Penubuhan pasukan Polis Bantuan universiti memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan keselamatan kampus, bukan sahaja dalam aspek penguatkuasaan tetapi juga pencegahan jenayah, pengurusan risiko serta tindak balas kecemasan,” katanya.
Beliau berkata pemakaian pangkat pada majlis tersebut melambangkan kepercayaan serta pengiktirafan universiti terhadap kepimpinan anggota yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Pangkat bukan sekadar simbol, tetapi amanah untuk memimpin dengan integriti dan disiplin yang tinggi serta menjadi contoh kepada anggota lain dalam mematuhi prosedur operasi standard keselamatan kampus,” katanya.
Tambah beliau, cabaran keselamatan kampus pada masa kini menuntut pendekatan yang lebih proaktif dan bersepadu termasuk penggunaan teknologi keselamatan serta kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, SAC Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid; Pendaftar UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud serta Pengarah Bahagian Keselamatan UKM, Mejar (B) Dato’ Asri Ahmad.
Penganjuran majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan UKM dalam memperkukuh aspek keselamatan kampus bagi memastikan persekitaran universiti kekal selamat, sejahtera dan kondusif kepada seluruh warga universiti.

