Tun Tengku Maimun Penyandang Pertama Kursi Diraja Integriti dan Tadbir Urus Baik

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 22 November 2025 – Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai penyandang pertama Kursi Diraja Integriti dan Tadbir Urus Baik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan bertitah mengumumkan pelantikan Tun Tengku Maimun yang juga Professor of Practice di Fakulti Undang-Undang UKM, sebagai penyandang pertama Kursi Diraja tersebut.

“Beta berbangga kerana UKM mengambil inisiatif untuk memperbaiki keadaan yang berlaku dalam universiti melalui penubuhan Kursi Diraja ini dan turut menubuhkan Pusat Tadbir Urus dan Amalan Peraturan Baik UKM.”

Tuanku Muhriz yang juga Canselor UKM bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen ke-53 UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM, di sini.

Titah baginda, UKM mencipta sejarah dengan penubuhan Kursi Diraja dalam bidang Integriti dan Tadbir Urus Baik di Fakulti Undang-undang.

“Beta juga mengucapkan tahniah kepada para graduan yang menerima anugerah atas kejayaan cemerlang, terutamanya kepada dua orang pelajar yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja,” titah baginda.

Di samping itu, UKM turut memberikan sanjungan tertinggi kepada sembilan orang tokoh akademik UKM dengan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus.

Mengakhiri titah, baginda berpesan kepada semua graduan bahawa kejayaan pada hari ini akan menjadi sejarah peribadi dalam kehidupan mereka yang masih panjang.

“Kejayaan ini adalah berkat doa dan usaha para guru dan ibu bapa kamu. Sentiasa memanfaatkan ilmu yang diperolehi untuk kebaikan keluarga dan masyarakat.

“Beta menaruh keyakinan bahawa kamu akan terus menjaga maruah dan nama baik universiti. Jika boleh, kembalilah kepada UKM untuk menyumbang ilmu dan kepakaran.

“Jadilah seorang alumni UKM yang boleh diteladani, serta sentiasa dihormati,” titah baginda.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Dr Sufian Jusoh berkata pelantikan Tun Tengku Maimun sebagai Penyandang Kursi Diraja itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang undang-undang, integriti dan tadbir urus baik.

“Kursi ini juga berperanan sebagai wadah pengembangan wacana akademik bertaraf tinggi. Pada 1 Oktober 2025 yang lalu, Tun Tengku Maimun turut dilantik sebagai Profesor Ikhtisas di Fakulti Undang-Undang UKM.

“Karakter beliau seharusnya menjadi teladan dan inspirasi, khususnya kepada para graduan yang diraikan pada hari ini, bahawa kejayaan sejati hadir melalui amanah, dedikasi dan integrity,” katanya.

Beliau berharap agar pelantikan itu akan terus memartabatkan kecemerlangan akademia dan menempatkan UKM sebagai penyumbang utama dalam wacana integriti dan tadbir urus baik di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

Pada tahun ini, seramai tiga belas ribu, sembilan ratus empat (13,904) orang graduan akan menerima ijazah masing-masing.

Leave a Reply