UKM-CESMED Ketuai Kajian Impak Pelan Tindakan Keusahawanan IPT Kebangsaan

Oleh Muhammad Izzuddin Mohd Yazri
Foto  Mohd Roshidi Mohd Razali

BANGI, 27 Mac 2026 – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-CESMED), menjadi peneraju pelaksanaan Kajian Impak Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi (PTK-IPT) 2021–2025 bagi menilai keberkesanan pelaksanaan agenda keusahawanan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

Pengarah UKM-CESMED, Prof. Madya Dr. Muhamad Azry Khoiry berkata kajian impak itu menjadi komponen penting dalam kolaborasi strategik antara urus setia kementerian, pakar akademik pelbagai universiti serta penglibatan agensi industri dalam memperkukuh pembangunan keusahawanan IPT secara menyeluruh.

“PTK-IPT 2021–2025 merupakan fasa pembangunan yang menjadi asas kepada penghasilan pelan-pelan tindakan keusahawanan yang seterusnya memperkasa agenda keusahawanan pendidikan tinggi negara,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan Kajian Impak PTK-IPT 2021–2025 yang bermula sejak Mei 2025 telah menghimpunkan data daripada pemegang taruh ekosistem keusahawanan IPT di seluruh Malaysia dengan melibatkan 6,473 pelajar, 1,182 pengajar keusahawanan dan 171 wakil industri.

“Ia sekali gus menjadikan kajian ini antara penilaian paling komprehensif berkaitan ekosistem keusahawanan IPT yang pernah dilaksanakan di peringkat nasional,” katanya.

Dapatan kajian tersebut dibincangkan dalam Town Hall PTK-IPT 2026–2030, baru-baru ini yang menghimpunkan wakil kementerian, IPT, pakar akademik dan rakan industri bagi meneliti serta memperkukuh perangkaan pelan tindakan baharu yang lebih tuntas dan bertepatan dengan keperluan negara.

Majlis perasmian town hall itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Pelaksanaan kajian impak itu dijangka menjadi rujukan utama kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dalam merangka PTK-IPT 2026–2030 yang lebih progresif, mampan dan responsif terhadap perubahan landskap ekonomi, teknologi serta keperluan pasaran kerja masa hadapan.

Ia juga selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai graduan berdaya saing dan berkeupayaan menjadi pencipta peluang ekonomi melalui bidang keusahawanan.

Leave a Reply