UKM dan APM Anjur Seminar Literasi Undang-Undang, Fokus Isu Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak

Oleh Nurin Batrisyia Bukhari
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 28 Ogos 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Akademi Perundangan Negara (APN) telah menganjurkan Seminar Literasi Undang-Undang yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam sistem perundangan negara dengan memberi tumpuan utama kepada isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh dalam ucapannya menegaskan kepentingan membahas isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini kerana ia merupakan isu yang penting, memerlukan dialog kritikal, pembaharuan dasar, serta integrasi ilmu merentas pelbagai disiplin.

“Isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan semata-mata persoalan perundangan, tetapi turut mencerminkan tanggungjawab sosial kita bersama dalam memperkasakan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Prof. Dr. Sufian menekankan peranan UKM sebagai pusat ilmu dan pembangunan masyarakat melalui penyelidikan serta pendidikan awam bagi mengenal pasti corak jenayah seksual, membina dasar yang lebih berkesan, serta melatih tenaga profesional dalam pelbagai bidang seperti undang-undang, psikologi, perubatan dan kerja sosial.

“Kepelbagaian bidang ini dilihat sebagai kekuatan UKM yang telah sedia ada bagi memastikan setiap aspek mempunyai keupayaan menangani kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak secara menyeluruh.

“Di samping itu, UKM juga telah menawarkan khidmat Klinik Literasi dan Bantuan Guaman (KLBG) yang beroperasi di Fakulti Undang-undang yang menyediakan perkhidmatan nasihat perundangan dan sokongan kepada mangsa jenayah seksual,” jelasnya.

Menurut Prof. Dr. Sufian, UKM bercadang untuk memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan ASEAN dalam bidang perlindungan kanak-kanak melalui jaringan penyelidikan serantau, perkongsian kepakaran, serta pembangunan model perlindungan kanak-kanak yang boleh dijadikan rujukan di peringkat rantau Asia Tenggara.

“Sebagai institusi yang mempunyai kredibiliti akademik yang unggul, UKM juga bersedia menjadi pemikir strategik kepada kerajaan dalam merangka undang-undang dan polisi yang lebih komprehensif.

“Peranan ini sangat mustahak agar usaha melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual dapat diperkukuh bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau ini.

“Saya percaya dengan gabungan usaha pendidikan, penyelidikan advokasi dan polisi, UKM akan menjadi benteng utama dalam melindungi generasi masa hadapan daripada ancaman jenayah seksual,” jelasnya.

Prof. Dr. Sufian turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelbagai langkah proaktif termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang selari dengan perkembangan global dalam usaha menangani eksploitasi kanak-kanak termasuk dalam dunia maya.

Leave a Reply