UKM dan UPEN Melaka Perkasa Komuniti Hadapi Kecemasan

Oleh Khairatul Nadia Ramli
Foto oleh Fakulti Perubatan

KUALA LUMPUR, 14 November 2025 – Usaha memperkasa masyarakat menghadapi situasi kecemasan terus diperkukuh melalui pelaksanaan Program Sijil Kompetensi Asas Perawat Kecemasan Komuniti, anjuran Jabatan Perubatan Kecemasan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka.

Program ini merupakan sebahagian daripada Inisiatif Paramedik Komuniti di bawah Belanjawan Negeri Melaka 2025 yang dirangka bagi melahirkan masyarakat berkemahiran memberi rawatan awal dengan yakin dan tepat sebelum ketibaan bantuan perubatan profesional.

Seramai 35 peserta terpilih menyertai latihan berasaskan kompetensi, yang dijalankan secara gabungan pembelajaran dalam talian dan sesi praktikal bersemuka. Peserta didedahkan kepada kemahiran Bantuan Hayat Asas (Basic Life Support, BLS) termasuk teknik CPR individu dan berpasukan, penggunaan Automated External Defibrillator (AED), bantuan pernafasan menggunakan mask device, serta kaedah pengendalian kes tercekik.

Para peserta juga turut mempelajari Child & Infant BLS, iaitu teknik resusitasi khas untuk bayi dan kanak-kanak, selain modul rawatan awal seperti cara menangani luka, pendarahan, lecur, serta teknik pembalutan dan splinting yang betul.

Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan UKM, Prof. Madya Dr. Ruslinda Mustafar dalam ucapan perasmian majlis penutup program telah menekankan berkenaan dengan kepentingan membudayakan ilmu perawatan kecemasan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata program itu bukan sahaja meningkatkan kemahiran perawatan kecemasan, malah menanam semangat kemanusiaan dan keprihatinan dalam diri peserta.

“Inilah semangat sebenar Paramedik Komuniti yang wajar diterapkan di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan, Prof. Madya Dr. Shamsuriani Md. Jamal berkata program berkenaan merupakan sebahagian usaha jabatan memperluas kepakaran akademik ke peringkat komuniti.

“Melalui latihan ini, kami bukan sahaja menyalurkan ilmu perubatan kepada masyarakat, tetapi juga membina keupayaan komuniti untuk bertindak pantas dan tepat ketika kecemasan berlaku.

“Pendekatan latihan berasaskan kompetensi membolehkan orang awam memahami prinsip asas rawatan kecemasan dan menggunakan kemahiran tersebut bagi menyelamatkan nyawa sementara menunggu pasukan paramedik tiba,” katanya.

Tambah beliau, Jabatan Perubatan Kecemasan UKM komited untuk meneruskan kerjasama strategik dengan agensi negeri dan persekutuan bagi memperluas pelaksanaan program seumpamanya pada masa akan datang.

“Kami berhasrat menjadikan inisiatif ini sebagai model latihan komuniti yang mampan dan inklusif, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat,” jelasnya.

Pelaksanaan program ini turut menjadi sebahagian daripada Program Sukarelawan Paramedik Komuniti (PARAKOM) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Melaka sebagai langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan komuniti terhadap kecemasan dan bencana.

Melaka menjadi negeri perintis pelaksanaan inisiatif ini melalui kerjasama strategik antara Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan St John Ambulance Malaysia (Hotspot) Melaka.

Kerajaan negeri, melalui Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia, bekerjasama dengan Fakulti Perubatan UKM bagi memastikan sukarelawan PARAKOM sentiasa kompeten dan bersedia dengan ilmu perawatan asas. Di bawah program ini, komuniti setempat turut diberi pendedahan tentang sistem rujukan kecemasan, komunikasi berkesan dengan talian kecemasan 999, serta peranan sokongan kepada agensi penyelamat.

Kejayaan penganjuran ini diharap menjadi pemangkin kepada peluasan pelaksanaan program seumpamanya di negeri-negeri lain, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi kecemasan dan bencana.

Leave a Reply