UKM Jadi Rujukan Jordan Dalam Pembangunan Intervensi Imagery

AMMAN, JORDAN, 10 Disember 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi rujukan Universiti Jordan berkenaan teknik imagery yang sekian lama menjadi amalan atlet berprestasi tinggi.

Teknik ini diterjemahkan oleh Pensyarah Kanan dan Pakar Psikologi Gunaan UKM, Dr. Nurwina Akmal Anuar melalui adaptasi teknik mental atlet elit seperti visualisasi terarah, rehearsal mental dan fokus kendiri sebagai kaedah praktikal yang mudah diamalkan serta relevan dalam membantu individu mengurus tekanan, kebimbangan dan tuntutan hidup moden.

Dalam kunjungan rasmi beliau ke Amman, Dr. Nurwina disambut oleh kepimpinan tertinggi Universiti Jordan bagi membincangkan kerjasama penyelidikan serta pembangunan kelas microcredential imagery.

Selepas menyampaikan syarahan beliau kepada pelajar siswazah dan mengikuti perbincangan bersama fakulti berkaitan, pihak universiti menyatakan minat yang sangat tinggi dan secara rasmi meminta agar kursus microcredential tersebut dibangunkan untuk kegunaan pensyarah, pelajar siswazah dan pengamal psikologi di sana.

Menurut Dr. Nurwina, lawatan ini sekali gus menjadi asas penting kepada pembentukan kerjasama jangka panjang dalam bidang kemahiran mental terapan.

Imagery dilihat mempunyai potensi besar kerana keupayaannya meningkatkan fokus, kestabilan emosi dan daya tahan mental bukan sahaja dalam kalangan atlet, tetapi juga dalam konteks akademik dan profesional di universiti itu.

Walaupun imagery sering dikaitkan dengan atlet bertaraf dunia, teknik ini berakar pada prinsip neurosains: otak bertindak balas terhadap imejan mental seolah-olah ia pengalaman sebenar.

“Rehearsal mental yang terarah membantu atlet menstabilkan emosi, mengekalkan prestasi dan membuat keputusan tepat dalam situasi bertekanan tinggi,” katanya.

Melalui adaptasi yang diperhalusi oleh beliau, teknik tersebut kini boleh digunakan oleh masyarakat umum termasuk pelajar, pendidik, pekerja korporat dan individu yang bergelut dengan burnout, overthinking atau keletihan mental.

Pendekatan ini mudah dipelajari, tidak memerlukan peralatan khusus dan boleh diamalkan dalam pelbagai konteks kehidupan seharian, jelasnya.

“Perkembangan ini turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi imagery untuk masyarakat Malaysia, khususnya dalam konteks tekanan kerja, tuntutan akademik dan cabaran emosi yang semakin meningkat.

“Dengan sifatnya yang ringkas, rendah kos dan disokong kajian saintifik, imagery dilihat sebagai salah satu pendekatan yang boleh melengkapi usaha sedia ada dalam meningkatkan kesejahteraan mental.

“Kejayaan teknik ini membantu atlet elit mengawal tekanan turut menunjukkan bahawa ia berpotensi dimanfaatkan lebih meluas, termasuk dalam kalangan masyarakat umum di Malaysia,” katanya.

Dr. Nurwina berkata peluang yang terhasil daripada hubungan ini termasuk akses kepada pembiayaan penyelidikan antarabangsa, pembangunan program microcredential berskala global dan pertukaran kepakaran yang boleh memperkukuh kapasiti akademik negara.

Tambahnya, pengiktirafan ini menunjukkan bahawa inovasi psikologi yang dibangunkan di Malaysia mampu mempengaruhi amalan sejagat dan membuka ruang kepada penerapan intervensi mental yang lebih sistematik di rantau ini.

“Lawatan ini menandakan permulaan hubungan akademik yang lebih kukuh antara UKM dan Universiti Jordan, serta potensi memperluas penggunaan imagery sebagai strategi kesejahteraan mental di peringkat serantau,” katanya.

Leave a Reply