UKM Komited Martabat Bahasa Melayu – Bicara Perdana Naib Canselor 2025

Oleh Murniati Abu Karim dan Nurin Batrisyia Bukhari
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 3 September 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) komited untuk terus memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti tersebut.

Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata, sejak penubuhan pada tahun 1970, identiti kebangsaan telah menjadi asas kepada penubuhan universiti ini.

Beliau berkata wawasan UKM adalah untuk menjadi pemangkin pembangunan negara dengan berteraskan identiti, mengekalkan roh serta semangat penubuhannya, dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

“Kalau menjadi profesor di UKM, mesti boleh mengajar dan berkomunikasi dan menulis jurnal, menulis buku dalam Bahasa Melayu.  

“Jadi, jangan malu, jangan segan untuk mempromosikan dan menggunakan dan mempertahankan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bicara Perdana Naib Canselor 2025 yang bertemakan “Memperkasa Potensi, Memacu Keunggulan”.

Bicara ini merupakan yang pertama disampaikan oleh Prof. Dr. Sufian sejak pelantikannya pada Jun lalu.

Prof. Dr. Sufian turut membentangkan aspirasi warga universiti hasil daripada respons terbuka yang mengumpulkan sebanyak 1,300 maklum balas.

Dapatan ini kemudiannya dikategorikan kepada 23 tema utama yang merangkumi keseluruhan aspek universiti.  

“Walaupun fokus kita kepada digitalisasi, automasi dan sebagainya, tetapi kita harus pulang ke landasan yang benar.

“Pulang ke landasan yang asal iaitu menyediakan kemudahan terbaik untuk warga kita bagi kesejahteraan keluarga, bagi kesejahteraan warga kita,” jelas beliau. 

Prof. Dr. Sufian turut memberi tumpuan kepada empat aspek utama iaitu pengukuhan sumber manusia, penambahbaikan fasiliti secara berkesan, penambahbaikan fasiliti secara berkesan dan pemurnian KPI yang lebih relevan.

Selain itu, beliau turut memperkenalkan tiga nilai, iaitu Ilmu, Iman dan Amal; lima fokus, serta tujuh petunjuk prestasi utama.

“Ramai orang sekarang hanya melihat tanpa membaca. Kita mahu pelajar UKM mengamalkan iman, ilmu dan amal sebagai kekuatan dalam UKM.

“Kemampanan institusi, kemapanan dari segi kewangan, dari segi penyelidikan, daripada pembelajaran, kita harus menjadi sebuah universiti yang sentiasa bergerak maju ke hadapan.

“Kita ada beberapa cabaran terkini tetapi semua itu kita boleh tangani. Kita harus bergerak ke hadapan untuk memberi tahu kepada masyarakat iaitu iniversiti kebangsaan ini sebuah universiti yang berintegriti dan bertanggungjawab,” jelasnya. 

Prof. Dr. Sufian berharap agar UKM berpegang kepada aspirasi seratus tahun kemerdekaan negara.

“Jadi pada tahun 2057, kita ingin melahirkan generasi pemimpin negara yang sentiasa ingat bahawa mereka mendukung aspirasi negara kita pada masa itu.

“Yang akan membantu negara melaksanakan transformasi menyeluruh bagi membangunkan negara menjadi sebuah negara termaju pada tahun 2057, negara yang beriman, berilmu dan beramal di atas falsafah universiti kebangsaan,” katanya.

Leave a Reply