UKM Menjadi Perintis Pertandingan Keysight Fox Hunt at UKM

Oleh Nur Izzati Ab Rahman
Foto oleh INVEBOT Club

BANGI, 5 November 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) menjadi perintis dalam penganjuran Pertandingan Keysight Fox Hunt at UKM, iaitu sebuah inisiatif kolaboratif antara UKM dengan Keysight Technologies Malaysia, baru-baru ini.

Program yang berkonsepkan “technology scavenger hunt” ini menggabungkan kemahiran teknikal, kejuruteraan komunikasi, dan kepintaran analisis data dalam bentuk permainan berasaskan pencarian isyarat radio (radio direction finding).

Dalam pertandingan itu, peserta perlu mengesan dan mengenal pasti lokasi “fox” (pemancar tersembunyi) menggunakan peralatan komunikasi yang disediakan, seperti antena dan penerima radio.

Menurut Pengarah HEP-UKM, Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, pertandingan tersebut diadakan bagi mengukuhkan hubungan kolaborasi strategik antara UKM dan rakan industri iaitu Keysight Technologies.

Selain itu, katanya program itu juga adalah  sebagai permulaan pengenalan penganjuran program secara bersama antara kedua-dua pihak.

“Secara tidak langsung, program ini menyokong aspirasi UKM untuk melahirkan graduan berdaya saing, berkemahiran tinggi dan berfikiran inovatif.

“Melalui penganjuran ini, ia dapat melibatkan pelajar dalam bidang yang berkaitan serta memberi pengalaman pembelajaran berasaskan industri (industry-based experiential learning) kepada pelajar,” katanya.

Inisiatif tersebut merupakan kesinambungan daripada lawatan penandaarasan delegasi UKM ke Keysight Technologies Sdn. Bhd. sebelum ini.

Bagi pertandingan yang telah dijalankan itu, seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada pelajar tahun 3 dan 4 daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem FKAB serta Fakulti Sains dan Teknologi (FST) telah mengambil bahagian.

UKM adalah sebagai universiti awam pertama ang terpilih untuk menjadi tuan rumah program tersebut, dengan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) bertindak sebagai Jawatankuasa Induk.

Keysight Technologies, Inc. ialah syarikat teknologi global yang terkemuka dalam bidang ujian, pengukuran dan analisis isyarat elektronik. Syarikat ini menyediakan penyelesaian inovatif untuk industri komunikasi, aeroangkasa, pertahanan, automotif dan semikonduktor.

Leave a Reply