UKM Pandang Serius Integriti Akademik dan Penyelidikan

Oleh Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memandang serius terhadap integriti akademik dan penyelidikan kerana ia adalah tunjang utama pentadbiran universiti.

Dakwaan salah laku yang boleh menjejaskan reputasi institusi dan kepercayaan masyarakat terhadap keberhasilan penyelidikan tempatan akan disiasat dan diambil tindakan. UKM tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran etika penyelidikan dan penerbitan yang boleh menjejaskan reputasi institusi serta hak mana-mana pihak.

Semua aduan yang diterima kini berada dalam tindakan siasatan rasmi universiti mengikut prosedur dan garis panduan integriti yang berkuat kuasa. Proses ini dilaksanakan secara telus, adil dan profesional bagi memastikan setiap dakwaan diteliti secara menyeluruh tanpa prejudis.

Sekiranya dakwaan tersebut didapati benar, tindakan tatatertib yang tegas dan setimpal akan dikenakan kepada pihak yang terlibat selaras dengan peraturan universiti dan undang-undang berkaitan. UKM komited mempertahan budaya integriti akademik dan memastikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi ini terus terpelihara.

Bagi memastikan keadilan dan ketelusan, pihak universiti sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada Pusat Integriti dan Ombudsman untuk menjalankan siasatan menyeluruh tanpa kompromi bagi mengenal pasti punca dan pihak yang terlibat.

UKM juga memastikan bahawa proses ini bukan sahaja tertumpu kepada tindakan disiplin, malah melindungi hak intelek dan kebajikan warga penyelidik agar ekosistem inovasi kekal sihat.

Selain itu, langkah proaktif juga sentiasa diambil melalui penambahbaikan sistem pengurusan penyelidikan digital dan penggunaan perisian pengesanan plagiarisme yang lebih canggih bagi mengesan sebarang percanggahan etika di peringkat awal.

Pihak UKM juga memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang berjalan.

UKM sentiasa kekal relevan sebagai peneraju ilmu negara bangsa yang menjunjung tinggi nilai amanah dan kecemerlangan akademik.

Leave a Reply