UKM Perkasa Komuniti Pekak melalui Latihan CPR Inklusif

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 30 Januari 2026 – Fakulti Perubatan dan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan Program Penyelamat Senyap – Latihan CPR dan Pembangunan Jurulatih untuk Komuniti Kurang Upaya Pendengaran yang merupakan inisiatif latihan CPR inklusif khusus untuk komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

Program ini adalah bagi membantu komuniti OKU pendengaran mengetahui cara-cara membuat CPR kepada orang yang memerlukan.

Timbalan Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Penyelamat Senyap, Prof. Madya Dr. Mohd Hisham Mohd Isa berkata penyelidik-penyelidik daripada Jabatan Perubatan Kecemasan Fakulti Perubatan telah mencipta satu kaedah 5T untuk mengajar CPR menggunakan teknik yang mudah untuk difahami menggunakan bahasa Melayu supaya rakyat Malaysia lebih faham .

“Melalui pendekatan CPR kaedah 5-T iaitu Tengok (keselamatan), Tegur (respon), Telefon/Teriak (panggil bantuan), Teliti (pernafasan) dan Tekan (dada), yang digabungkan dengan bahasa isyarat, peserta dilatih kemahiran menyelamatkan nyawa secara lebih mudah, berkesan dan inklusif.

“Semua ini dirangkum dalam Modul FIT-CPR yang dibangunkan hasil penyelidikan pasukan dari Jabatan Perubatan Kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Penyelamat Senyap – Latihan CPR dan Pembangunan Jurulatih untuk Komuniti Kurang Upaya Pendengaran, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata program yang diadakan itu lebih menarik kerana dibantu oleh 30 orang pelajar dari program Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan UKM hadir menjadi jurubahasa isyarat bagi membantu para peserta.

“Selain itu, kita juga ada video yang menggunakan bahasa isyarat untuk menerangkan dengan lebih lanjut apakah itu 5T,” ujarnya.

Jadi, katanya para peserta akan lebih faham kaedah 5T yang perlu digunakan dalam menyelamat pesakit.

“Kita dapat sejumlah geran untuk menjalankan aktiviti program 5T CPR ini. Saya berharapkan program ini tidak terhenti di sini dan kita akan kembangkan lagi.

“InsyaAllah jika dapat sokongan daripada semua, kita akan bawa program ini ke negeri-negeri lain seluruh Malaysia untuk menyantuni semua peserta-peserta ataupun orang kurang upaya pendagaran,” katanya.

Serama 120 peserta yang terdiri daripada pelajar dan komuniti OKU pendengaran menyertai program itu. Selain dari individu, peserta yang hadir juga adalahdari Persatuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman.

Leave a Reply