UKM Raikan 522 Staf Cemerlang

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim & Shahiddan Saidi

BANGI, 18 September 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan seramai 522 staf yang telah menunjukkan prestasi cemerlang berdasarkan penilaian prestasi tahun 2024 dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2025, yang diadakan di Dewan Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 346 adalah penerima APC, 113 penerima Anugerah Perkhidmatan 20 Tahun, 60 penerima Anugerah Perkhidmatan 30 Tahun dan tiga orang perima Anugerah Perkhidmatan 40 Tahun.

Sebanyak enam pasangan suami isteri dan tiga orang staf Orang Kurang Upaya (OKU) menerima anugerah bagi beberapa kategori tersebut.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak dalam ucapan perasmiannya berkata majlis yang diadakan ini adalah bukti bahawa UKM sentiasa menzahirkan rasa hormat dan penghargaan kepada warganya yang menjadi tulang belakang universiti.

“Pengiktirafan ini diharap dapat menjadi teladan, inspirasi, dan pemangkin semangat untuk kita semua meningkatkan mutu perkhidmatan serta menyumbang dengan penuh integriti demi kejayaan universiti watan tercinta ini,” katanya.

Seiring dengan cabaran semasa, beliau menyeru agar warga UKM terus memperkukuh budaya penambahbaikan dalam setiap aspek, sama ada dari segi sistem, peraturan, proses kerja mahupun kualiti penyampaian.

“Sebagai penjawat awam, kita perlu sentiasa teguh berpegang kepada nilai profesionalisme, amanah, dan ketelusan agar universiti ini sentiasa diyakini oleh masyarakat serta pemegang taruh,” ujarnya.

Sementara itu, penerima Anugerah Perkhidmatan 40 Tahun, Ruslan Md Yusop berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada UKM yang telah memberi pelbagai peluang kepadanya sepanjang berkhidmat di universiti itu.

“Saya mula berkhidmat disini semasa umur 18 tahun. Sebagai Penolong Pegawai Sains di Fakulti Sains dan Teknologi, banyak ilmu saya dapat, terutamanya yang berkaitan serangga.

“Saya juga dapat mengenali dan bekerjasama dengan pakar-pakar zoologi dari luar negara. Ini merupakan antara kenangan yang tidak mungkin saya lupakan,” katanya.

Seorang lagi penerima APC kategor OKU, Syawal Mohd Yusof berkata walaupun buta sebelah mata kiri, beliau bersyukur kerana dapat berkhidmat di UKM.

“Saya merupakan alumni universiti ini, dari sarjana muda sehinggalah ke sarjana. Peluang saya bekerja disini akan saya gunakan sebaiknya untuk meningkatkan prestasi diri dan insyaAllah saya akan guna peluang yang ada untuk saya sambung belajar ke peringkat seterusnya,” katanya.

Majlis gilang gemilang ini diadakan sebagai tanda penghargaan universiti kepada warga yang mencapai prestasi cemerlang dan setia berkhidmat dengan UKM, selain sebagai pendorong dan pembakar semangat kepada warga UKM untuk sentiasa berusaha meningkatkan prestasi kerja.

Majlis ini turut dihadiri oleh Naib Canselor, Prof Dr Sufian Jusoh.

Leave a Reply