UKM Tarik Perhatian Kesatuan Eropah (EU) dalam Dialog Kelestarian Minyak Sawit dan EUDR

Oleh Sekretariat Kursi Endowmen MPOB-UKM

BRUSSELS, 7 Oktober 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa apabila bekerjasama dengan Pejabat Kedutaan Malaysia di Brussels, Belgium dan World Trade Institute (WTI), University of Bern, Switzerland bagi menganjurkan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) bertajuk “Aligning Palm Oil with Global Sustainability and ESG Frameworks” yang berlangsung di Pejabat Kedutaan Malaysia di Brussels.

Program ini mendapat perhatian positif daripada delegasi Kesatuan Eropah (EU) yang hadir, termasuk wakil daripada The Competere, Policies for Sustainable Development. Delegasi EU mengiktiraf kelebihan industri minyak sawit Malaysia dari segi produktiviti dan penggunaan tanah yang lebih efisien berbanding tanaman minyak lain.

Mereka berpandangan bahawa melalui komunikasi yang lebih berkesan dan kerjasama teknikal yang berterusan, minyak sawit berpotensi diiktiraf sebagai model komoditi lestari di peringkat global.

Delegasi EU turut menekankan kepentingan mengekalkan dialog yang terbuka dan berterusan antara Malaysia dan EU bagi memastikan pelaksanaan EU Deforestation Regulation (EUDR) dilaksanakan secara adil serta berasaskan bukti saintifik.

EUDR juga dilihat sebagai platform penting untuk menonjolkan komitmen Malaysia terhadap amalan mampan serta memperkukuh reputasi global industri minyak sawit negara.

Penganjuran RTD ini mencerminkan usaha berterusan UKM melalui Kursi Endowmen MPOB-UKM dalam memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan EU bagi memastikan pelaksanaan EUDR selaras dengan prinsip kelestarian global dan kepentingan industri sawit.

Leave a Reply