UKM terima tiga Timbalan Naib Canselor baharu

Oleh Asmahanim Amir dan Murniati Karim
Foto KOMUNIKASI UKM

BANGI, 4 Disember 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima pelantikan tiga orang Timbalan Naib Canselor baharu berkuat kuasa semalam, 3 Disember 2025 bagi tempoh dua tahun.

Mereka ialah, Prof Dr Ismanizan Ismail yang dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi; Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman sebagai Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni; dan Prof Dr Bariah Mohd Ali sebagai Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat.

Prof Dr Ismanizan sebelum ini memegang jawatan Pengarah Pusat PERMATA@Pintar Negara, Pengarah Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM). Beliau merupakan lulusan Doktor Falsafah dari University of Edinburgh, United Kingdom dan merupakan pakar bioteknologi dalam bidang sumber lestari serta alam sekitar dan kehidupan pintar.

Sementara itu, Prof Dr Norinsan pula berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Sains Kakisan dan Kejuruteraan dari University of New South Wales, Australia. Sebelum ini beliau merupakan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM dan menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni sejak April lalu.

Manakala, Prof Dr Bariah ialah pakar optometris kanta lekap yang berkelulusan Doktor Falsafah dari University of New South Wales, Australia. Terdahulu, beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah UKM dan pernah memegang jawatan sebagai Dekan Fakulti Sains Kesihatan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Sufian Jusoh mewakili seluruh warga UKM mengucapkan tahniah atas pelantikan ini.

Beliau yakin dengan pengalaman dan reputasi cemerlang yang dimiliki oleh ketiga-tiga Timbalan Naib Canselor ini mampu memperkukuh peranan UKM sebagai peneraju pendidikan tinggi seterusnya, menyumbang kepada pembangunan negara.

Leave a Reply