UKM Uji Model Mobiliti Lintas Fakulti di Korea Selatan

SEOUL, KOREA SELATAN, 7 Disember 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkenalkan satu model pembelajaran antarabangsa baharu dengan menjadikan Korea Selatan sebagai ekosistem pendidikan masa depan.

Model pembelajaran ini menggabungkan pelajar daripada empat fakulti iaitu Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Fakulti Undang-Undang (FUU), Fakulti Pendidikan (FPEND) serta Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dalam satu pasukan mobiliti.

Pendekatan lintas disiplin ini memberi pelajar kefahaman menyeluruh tentang pembangunan negara melalui penilaian dasar, budaya, teknologi dan struktur sosial Korea.

Fokus utama ialah keupayaan pelajar menterjemahkan pemerhatian kepada pemahaman tentang pembangunan bakat, pembelajaran organisasi dan peranan institusi dalam menyokong ekosistem negara.

Gabungan pelajar empat fakulti memberi nilai signifikan kerana setiap disiplin melihat negara dari sudut berbeza. Pelajar FEP melihat dinamika pasaran, pelajar FUU meneliti norma sosial dan integriti masyarakat, pelajar FST menganalisis teknologi sebagai budaya kehidupan, manakala pelajar FPEND menilai sistem pendidikan dan pembangunan manusia.

Penggabungan perspektif ini membantu pelajar membina gambaran holistik tentang hubungan antara dasar, masyarakat dan pembangunan negara.

Menurut Penasihat Program, Dr Nurwina Akmal Anuar, Korea dipilih kerana struktur pembangunan negaranya mudah diperhatikan pelajar dan konsisten dari sudut dasar, budaya kerja dan orientasi pembelajaran.

“Pelajar tidak boleh hanya melihat, tetapi mereka masuk dalam sistem untuk belajar menilai hubungan antara dasar, nilai dan tindakan yang membentuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata kerangka pembelajaran lapan dimensi iaitu ekosistem negara, mindset nasional, perbandingan dasar, literasi mobiliti, pembelajaran lintas disiplin, naratif sejarah, refleksi identiti dan peluasan perspektif menjadi asas setiap aktiviti.

“Pemerhatian seperti sistem pengangkutan bandar, tingkah laku pengguna dan budaya komuniti digunakan untuk menghubungkan teori akademik dengan realiti lapangan.

“Pemerhatian ini membantu pelajar memahami bahawa pembangunan negara tidak hanya bergantung kepada pusat bandar besar, tetapi memerlukan penyertaan institusi dari seluruh wilayah,” katanya.

Dr Nurwina menegaskan bahawa nilai utama program ini adalah keupayaan pelajar memahami bagaimana sesebuah negara berfungsi pada skala sistem dan bagaimana warganya membentuk perjalanan pembangunan negara.

“Ini latihan akademik yang membantu pelajar menjadi pembuat keputusan yang lebih matang,” katanya.

Sementara itu, ketua pelajar, Nadiah Ab Kadir berkata pengalaman tersebut membuka pemahaman baharu mengenai tanggungjawab warga dalam pembangunan negara.

“Kami melihat sendiri bahawa kemajuan terbina melalui disiplin kolektif dan nilai bersama.

“Ia membuat kami sedar bahawa setiap individu memainkan peranan dalam ekosistem negara,” katanya.

Dengan pendekatan rintis ini, UKM mensasarkan untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja memahami isu global, tetapi juga mempunyai kejelasan terhadap peranan mereka dalam pembangunan Malaysia.

Leave a Reply