Warga UKM adakan Gotong-Royong, Bersih Kawasan Sambut Pelajar Baharu

Oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar
Foto Pusat Komunikasi Korporat

Bangi, 18 September 2025 – Warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bekerjasama mengadakan gotong-royong sempena persediaan menyambut kehadiran lebih 3,000 mahasiswa baharu ke kampus ini.

Suasana bertambah ceria dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi universiti termasuk Naib Canselor Prof. Dr. Sufian Bin Jusoh; Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, yang menjalankan fungsi  Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman dan Pendaftar, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud.

Program ini melibatkan penyertaan staf, sukarelawan mahasiswa senior serta pihak pengurusan kolej kediaman dan fakulti yang berganding bahu menghias kawasan, membersih persekitaran dan menyiapkan ruang penginapan bagi pelajar baharu.

Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil berkata gotong-royong yang dijalankan itu bukan sekadar aktiviti pembersihan, tetapi simbol kasih sayang warga UKM dalam menerima kedatangan mahasiswa baharu sebagai sebahagian daripada keluarga besar universiti watan ini.

“Program ini sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan, budaya prihatin serta nilai kekitaan yang terus menjadi teras kepada komuniti kampus.

“Kepada pelajar baharu UKM, selamat datang ke kampus watan ini, sebuah universiti yang lahir daripada aspirasi rakyat untuk rakyat,” katanya.

Selain itu, bakal mahasiswa juga berpeluang menikmati pelbagai kemudahan dan fasiliti moden yang tersedia di UKM, termasuk aneka kiosk dan kafeteria, KATARSIS, Arena e-Sport, kemudahan sukan seperti stadium dan kolam renang, serta pelbagai lagi prasarana yang akan memudahkan kehidupan seharian sepanjang bergelar warga UKM.

Leave a Reply