Oleh Khairatul Nadia Ramli
Menjelang Aidilfitri, rumah terbuka dan kunjung-mengunjung menjadi tradisi yang mengeratkan hubungan kekeluargaan serta persahabatan. Namun dalam suasana meriah ini, masyarakat juga diingatkan agar tidak alpa terhadap kesihatan diri, khususnya berkaitan penyakit berjangkit seperti Tuberculosis atau tibi yang masih wujud dalam komuniti.
Tibi ialah penyakit berjangkit yang merebak melalui udara apabila seseorang yang menghidap tibi paru-paru aktif batuk, bersin atau bercakap. Risiko jangkitan boleh meningkat apabila seseorang berada dalam ruang tertutup atau kawasan sesak untuk tempoh yang lama, terutama jika pengudaraan kurang baik. Situasi seperti majlis rumah terbuka atau perhimpunan keluarga besar boleh menjadi persekitaran yang memudahkan penularan penyakit sekiranya langkah pencegahan tidak diberi perhatian.
Menurut Pensyarah dan Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Respiratori, Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ng Boon Hau, musim perayaan sering menyaksikan lebih banyak interaksi sosial, sekali gus meningkatkan keperluan untuk masyarakat lebih peka terhadap tanda-tanda awal penyakit.
“Ketika musim perayaan seperti hari raya, kita akan bertemu ramai orang dalam satu masa. Dalam keadaan ini, jika ada individu yang mempunyai jangkitan tibi aktif, penyakit itu boleh merebak melalui udara, terutama jika kita berada dalam ruang tertutup atau pengudaraan tidak begitu baik,” jelas beliau.
Beliau menegaskan bahawa gejala batuk yang berpanjangan tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia mungkin petunjuk awal kepada jangkitan tibi.
“Ramai orang menganggap batuk yang berlarutan hanyalah batuk biasa. Tetapi jika batuk berterusan lebih daripada dua minggu, terutamanya jika disertai demam, berpeluh pada waktu malam atau penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas, individu tersebut digalakkan mendapatkan pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan awal bukan sahaja membantu pesakit mendapatkan rawatan dengan lebih cepat, malah dapat mengurangkan risiko penularan kepada ahli keluarga dan orang sekeliling.
Data kesihatan awam menunjukkan bahawa tibi masih menjadi cabaran kesihatan di Malaysia, dengan puluhan ribu kes dilaporkan setiap tahun. Keadaan ini menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat terhadap gejala awal dan langkah pencegahan masih sangat penting.
Tambah beliau lagi, langkah pencegahan sebenarnya tidak rumit dan boleh diamalkan dalam kehidupan seharian, termasuk ketika menghadiri majlis rumah terbuka.
“Perkara asas seperti memastikan pengudaraan yang baik, membuka tingkap atau pintu supaya udara dapat bergerak dengan lebih lancar, serta mengamalkan etika batuk yang betul boleh membantu mengurangkan risiko penularan penyakit,” ujarnya.
Individu yang mengalami batuk atau tidak sihat juga digalakkan memakai pelitup muka ketika berada di tempat yang sesak sebagai langkah melindungi orang lain.
Golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau individu yang mempunyai penyakit kronik serta sistem imun yang lemah juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati apabila menghadiri majlis yang terlalu sesak. Sekiranya tidak sihat, adalah lebih baik untuk menangguhkan kunjungan sehingga keadaan kesihatan pulih sepenuhnya.
Bagi individu yang sedang menjalani rawatan tibi, pematuhan kepada rawatan yang diberikan oleh doktor adalah sangat penting.
“Walaupun pesakit mungkin berasa lebih sihat selepas beberapa minggu, ubat perlu diambil sehingga tamat tempoh rawatan yang ditetapkan.
“Ini penting bagi memastikan penyakit sembuh sepenuhnya dan bagi mengelakkan berlakunya rintangan ubat,” tambah beliau.
Dalam kemeriahan Aidilfitri, menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling merupakan tanggungjawab bersama. Dengan kesedaran terhadap gejala tibi serta amalan langkah pencegahan yang mudah, masyarakat dapat terus meraikan hari raya dalam suasana yang selamat, sihat dan penuh kegembiraan.

