Bicara Perdana Naib Canselor UKM 2024

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman menyampaikan Bicara Perdana Naib Canselor 2024 dengan tema “Mutiara Watan, Juara Sepanjang Zaman”.

Tahun ini merupakan Bicara Perdana Naib Canselor ke-empat Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan selaku Naib Canselor yang menerajui universiti watan ini.

Dalam bicara ini, Naib Canselor telah mengupas strategi serta hala tuju UKM pada sepanjang tahun ini, di samping membentangkan pencapaian dan keberhasilan pada tahun-tahun sebelumnya dalam memacu agenda universiti untuk menjadi sebuah institusi yang cemerlang.

Beliau turut menyentuh tentang kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran berkualiti yang telah dilaksanakan oleh universiti, penyelidikan translasi dan inovasi tersohor, kebolehpasaran graduan, serta pemerkasaan mahasiswa dan alumni.

Naib Canselor turut mengumumkan perancangan membina pintu gerbang baharu sebagai satu mercu tanda kebanggaan warga UKM dan warga Bandar Baru Bangi. Selain itu, pelaksanaan program pengajian baharu di UKM seperti Asasi Undang-undang dan Asasi Sains turut diumumkan.

Sebelum mengakhiri bicara ini, Naib Canselor menyampaikan berita baik untuk seluruh warga UKM dengan pemberian elaun cermin mata sebanyak RM300 dan RM5,000 khairat kematian.

Majlis turut menyaksikan pelancaran video korporat baharu UKM dan video baharu lagu Varsiti Kita. Pada majlis ini juga, Naib Canselor turut menyerahkan buku Bicara Perdana Naib Canselor 2024 kepada Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak.

Naib Canselor mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga universiti atas kesudian untuk menghadiri acara tahunan ini. Beliau berkeyakinan lebih banyak kecemerlangan akan digapai oleh UKM hasil usaha kesemua warganya.

Hadir sama ke bicara ini adalah Ahli-ahli Lembaga Pengarah UKM, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Ketua Pustakawan, Penasihat Undang-Undang, Pro-pro Naib Canselor UKM, para alumni dan warga UKM.

#BicaraPerdanaNaibCanselor

#IlmuMutuBudi

#UKM

#UniversitiWatanKita

Similar Posts