Kunjungan Daripada United Arab Emirates University (UAEU)

Pusat Strategi UKM dengan kerjasama UKM Global telah menerima kunjungan daripada delegasi United Arab Emirates University (UAEU) pada 10 April 2025 (Khamis).

Delegasi seramai tujuh (7) orang dari UAEU ini diketuai oleh YBhg. Professor Ahmed Ali Alraeesi dan disertai oleh beberapa pegawai kanan universiti tersebut. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan strategik antarabangsa antara UKM dan UAEU.

Ketibaan delegasi telah disambut mesra oleh Pro Naib Canselor (Strategi & Kewatanan) merangkap Pengarah Pusat Strategi, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan, bersama barisan Pengurusan Pusat Strategi juga YBhg. Prof. Dr. Zainuddin Sajuri, Timbalan Pengarah Pusat Akademik dan YBrs. Ts. Dr. Hasimi Sallehuddin, Timbalan Pengarah CRIM. Sesi kunjungan ini dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai peranan dan hala tuju strategik UKM dalam bidang pengantarabangsaan dan kerjasama global, yang disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan.

Kedua-dua pihak turut berpeluang untuk berkongsi pandangan serta meneroka potensi kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, mobiliti pelajar dan staf, serta program bersama yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Lawatan ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama yang kukuh dan berimpak tinggi antara UKM dan UAEU pada masa akan datang.

Similar Posts