Lawatan dari A4E ke UKM
Pusat Strategi UKM telah dikunjungi oleh 26 orang delegasi daripada Persatuan Pentadbir Akademik dan Pendidik Asia (A4E), yang diketuai oleh Presidennya, Dr. Eduardo G. Ong. Kehadiran mereka disambut oleh Pro Naib Canselor (Strategi & Kewatanan), Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan.
Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman serta mengambil peluang mengenal pasti dan mempelajari amalan terbaik UKM berdasarkan kedudukan dan pengiktirafan global; mendapatkan pandangan tentang amalan terbaik dalam pentadbiran akademik, pembangunan kurikulum, dan inisiatif penyelidikan di UKM; meneroka peluang kerjasama yang berpotensi antara UKM dan A4E dalam bidang pembangunan fakulti, projek penyelidikan bersama dan program pertukaran pelajar, dan untuk memahami strategi inovatif dalam pengurusan pendidikan tinggi yang boleh disesuaikan dan dilaksanakan dalam institusi mereka.
Dalam sesi lawatan ini juga Surat Hasrat Kerjasama (LoI) turut ditandatangani sebagai persetujuan awal peluang kerjasama antara UKM dan A4E. LoI ini adalah untuk bekerjasama dalam penyelidikan, pengajaran, pertukaran pelajar dan penglibatan dalam seminar atau persidangan yang diadakan oleh kedua-dua pihak.
Hadir sama adalah Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM), Prof. Ir. Dr. Abu Bakar Sulong; Pengarah Pusat Pengurusan Akademik, Prof. Madya Dr. Irman Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum, Dr. Nor Atika Md Ashar serta Timbalan-Timbalan Pengarah Pusat Strategi, Prof. Madya Dr. Mohd Zakree Ahmad Nazri dan Dr. Lim Kar Keng.

