Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
LANGKAWI, 20 Mei 2025 – Kunjungan rasmi Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan pengiktirafan terhadap peranan universiti dalam menerajui penyelidikan saintifik berasaskan komuniti dan pembangunan lestari.
Delegasi KPT diketuai oleh Timbalan Menteri KPT, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor berkata PPL memainkan peranan yang signifikan sebagai salah satu pangkalan penyelidikan lapangan dalam usaha memperkukuh agenda penyelidikan berteraskan kelestarian alam dan pembangunan negara.
“PPL bukan sekadar sebuah pusat penyelidikan, ia adalah makmal hidup yang menggabungkan keindahan semula jadi dengan warisan sumber asli yang unggul.
“Para penyelidik UKM di PPL telah menjalankan kerja lapangan, pemetaan geologi, dokumentasi warisan sumber asli serta penyediaan input saintifik untuk laporan pengiktirafan dan penilaian semula oleh UNESCO.
“PPL juga berperanan dalam pembangunan keupayaan komuniti setempat melalui program kesedaran, pendidikan alam sekitar, dan latihan geopelancongan,” katanya.
Hal ini juga memastikan bahawa penduduk tempatan di Langkawi ini turut menikmati manfaat ekonomi daripada status geopark sambil menjadi penjaga khazanah semula jadi Langkawi, jelasnya.
Tambah Prof Dr Abdul Halim, kunjungan delegasi KPT juga mencetus inspirasi kepada UKM dan para penyelidik UKM untuk terus mengandakan usaha bagi memacu agenda memasyarakatkan universiti.
Pusat Penyelidikan Langkawi atau dikenali sebagai PPL merupakan salah satu daripada empat makmal alami di bawah pengurusan Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal UKM (ALAF-UKM).
Selain PPL, ALAF-UKM juga turut menguruskan makmal alami lain yang terletak di luar kampus UKM Bangi seperti Pusat Penyelidikan Tasik Chini; Pusat Penyelidikan Bukit Fraser; dan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin, di Mersing.
Disamping itu ALAF UKM juga turut menyelia dua makmal fizikal yang berada kampus Bangi iaitu Makmal i-CRIM dan Makmal Bioserasi.

