Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 22 Disember 2025 – Di Malaysia, punca utama gangguan penglihatan yang boleh dirawat ialah ralat refraksi yang tidak dibetulkan dan katarak.
Menurut Profesor Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Rokiah Omar, rawatan awal yang tepat seperti rawatan ambliopia atau mata malas boleh memberikan ramalan pemulihan yang sangat baik sekiranya dilakukan pada peringkat awal.
Beliau berkata, masalah penglihatan yang gagal dikesan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, boleh memberi kesan serius terhadap perkembangan mental dan sosial mereka.
“Kajian oleh Duratul Ain et al. (2009) menunjukkan gangguan penglihatan yang tidak dirawat boleh menjejaskan pembelajaran dan interaksi sosial kanak-kanak.
“Di Malaysia, saringan penglihatan sekolah telah dilaksanakan sejak tahun 1967, namun ia hanya melibatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas,” katanya.
Menurut beliau lagi, apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan sistem prasekolah, saringan penglihatan turut diperluaskan kepada kanak-kanak berusia enam tahun. Walau bagaimanapun, liputan tersebut masih belum menyeluruh kerana ia hanya melibatkan sekolah aliran perdana.
“Sebahagian besar kanak-kanak di Malaysia sebenarnya bersekolah di tadika swasta atau tadika KEMAS seawal usia empat tahun, dan mereka ini tidak termasuk dalam saringan penglihatan sekolah,” jelasnya.
Sehubungan itu, bagi memperluas capaian saringan penglihatan kepada kanak-kanak prasekolah, saringan tersebut telah dimasukkan sebagai sebahagian daripada aktiviti penyaringan di klinik kesihatan seluruh negara.
“Usaha hasil kerjasama penyelidik Program Optometri dan Sains Penglihatan FSK UKM dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini telah menjadikan saringan penglihatan pada usia empat tahun sebagai satu polisi sejak tahun 2011.
Prof Datuk Dr Rokiah berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana Profesor bertajuk Pencegahan Kebutaan, Pemulihan dan Kualiti Hidup Orang Berpenglihatan Terhad: Pendekatan Berasaskan Prinsip Pelbagai Disiplin.
Selain saringan di klinik kesihatan, beliau memaklumkan bahawa UKM turut membangunkan Kit Saringan Penglihatan KieVision untuk digunakan oleh guru-guru prasekolah dan sekolah.
“Kit ini merangkumi tiga komponen utama, iaitu pemerhatian luaran mata, ujian juling dan ujian tahap penglihatan.
“Pelaksanaan saringan penglihatan dalam kalangan kanak-kanak prasekolah amat penting kerana kira-kira 85 peratus keupayaan pembelajaran mereka berkait rapat dengan fungsi penglihatan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa usia prasekolah merupakan tempoh sensitif bagi perkembangan sistem penglihatan, iaitu tempoh di mana rangsangan visual sangat diperlukan untuk memastikan fungsi penglihatan berkembang secara optimum.
“Oleh itu, ujian saringan disarankan dilakukan setiap tahun bagi memantau perkembangan penglihatan kanak-kanak,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kit Saringan Penglihatan KieVision turut diuji ke atas kanak-kanak Orang Asli daripada suku Temuan. Hasil kajian mendapati 40.9 peratus daripada sampel kanak-kanak tersebut mengalami gangguan penglihatan yang memerlukan rawatan.
“Ralat refraksi dikenal pasti sebagai punca utama gangguan penglihatan dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli ini,” katanya.
Menariknya, beliau turut menjelaskan bahawa majoriti kanak-kanak tersebut mengalami hipermetropia atau rabun dekat sebanyak 28.2 peratus, berbeza dengan populasi etnik lain di Malaysia yang lebih lazim mengalami miopia atau rabun jauh.
Keseluruhannya, beliau menegaskan bahawa saringan penglihatan awal dan menyeluruh adalah langkah penting bagi memastikan kesihatan mata rakyat Malaysia, khususnya kanak-kanak, terus terpelihara demi kualiti hidup yang lebih baik.

