ALAF-UKM Anjur INSPIRA 2026

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 15 Januari 2025 – Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal Universiti Kebangsaan Malaysia (ALAF-UKM) menganjurkan Karnival Perkhidmatan Instrumentasi dan Makmal UKM (INSPIRA) bagi memperkenalkan kepakaran serta keupayaan makmal dan instrumentasi penyelidikan UKM kepada warga universiti, rakan industri dan masyarakat umum.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Ismanizan Ismail berkata makmal dan kemudahan instrumentasi merupakan tunjang kepada segala aktiviti penjanaan ilmu dan inovasi.

“Di sinilah lahirnya pelbagai penemuan baharu, inovasi teknologi dan penyelesaian kepada cabaran masyarakat.

“Namun, kekuatan sebenar bukan sekadar pada peralatan atau fasiliti semata-mata, tetapi pada kebijaksanaan insan di sebalik mesin, iaitu para penyelidik, juruteknik dan ilmuwan yang berdedikasi dalam memastikan mutu dan keutuhan sains sentiasa terpelihara,” jelasnya.

Menurutnya, Karnival INSPIRA ini menjadi wadah untuk mengiktiraf komuniti teknikal UKM yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penyelidikan universiti.

Beliau percaya bahawa kemajuan teknologi harus bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan dan kelestarian.

“Justeru, melalui penganjuran seperti INSPIRA UKM, kita bukan sahaja meraikan kemajuan sains dan teknologi, tetapi juga menegaskan bahawa penyelidikan dan inovasi mesti memberi manfaat kepada rakyat dan kesejahteraan negara,” katanya.

Majlis perasmian INSPIRA UKM disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Ruziah Shafei.

Pada majlis ini juga, turut dilancarkan Sistem Pengurusan Instrumentasi Bersepadu UKM (SPINIC UKM), yang membolehkan penyelidik membuat tempahan, pemantauan, serta perkongsian data secara atas talian.

Majlis yang sama turut menyaksikan penyampaian Anugerah Makmal Perkhidmatan Cemerlang INSPIRA bagi mengiktiraf kualiti dan profesionalisme perkhidmatan makmal di UKM, yang dimenangi oleh Fakulti Farmasi.

Leave a Reply