Bicara Santai SPRM Perkukuh Kefahaman Integriti Pelajar Kriminologi

Oleh Irdieyna Natasha Huzaimi
Foto oleh Muhammad Haziq Azmi

BANGI, 20 Januari 2026 – Pendedahan secara langsung mengenai realiti penguatkuasaan rasuah menjadi fokus utama Program Bicara Santai Bersama Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dianjurkan oleh Program Kriminologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Program yang bertemakan “The Role of MACC in Combating Corruption” itu menghimpunkan pelajar Sarjana Muda Sains Sosial dalam Kriminologi dengan Kepujian, bersama lapan pegawai kanan SPRM dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha memperkukuh kefahaman terhadap peranan institusi, cabaran penguatkuasaan serta kepentingan integriti dan tadbir urus yang baik.

Menurut Penyelaras Program Kriminologi FSSK, Dr. Azahah Abu Hassan Sha’ari, penganjuran program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai amalan sebenar penguatkuasaan rasuah agar selari dengan pembelajaran teori di bilik kuliah.

“Pendekatan bicara santai dan dialog terbuka ini memberi ruang kepada pelajar untuk memahami realiti tugas penguatkuasaan, khususnya berkaitan dilema etika, cabaran integriti dan tanggungjawab profesional yang perlu dipikul oleh pegawai penguat kuasa,” katanya.

Sesi perkongsian utama memberi tumpuan kepada peranan dan fungsi SPRM, cabaran dalam penguatkuasaan kes rasuah, serta kepentingan nilai integriti dan tadbir urus dalam sektor awam.

Perkongsian pengalaman sebenar oleh pegawai SPRM turut membantu pelajar memahami kompleksiti tugas penguatkuasaan dalam situasi sebenar.

Bagi meningkatkan penglibatan pelajar, program ini turut diserikan dengan aktiviti interaktif “Corruption or Not?” yang mencabar pelajar menilai beberapa senario etika secara spontan sebelum dibincangkan bersama pegawai SPRM.

Aktiviti tersebut membuka ruang perbincangan kritikal berkaitan garis pemisah antara salah laku, konflik kepentingan dan rasuah.

Seorang pelajar tahun pertama, Nidhish A/L Sangkar menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman pembelajaran yang bermakna dan praktikal.

“Perkongsian secara langsung daripada pegawai SPRM membantu kami memahami bagaimana keputusan penguatkuasaan dibuat, terutamanya apabila berdepan dilema etika dan tekanan kerja sebenar,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Aina Qistina Murtaza pula berpendapat sesi dialog terbuka itu meningkatkan keyakinan pelajar untuk berinteraksi secara profesional.

“Suasana yang santai membuatkan kami lebih berani bertanya dan memahami cabaran sebenar dalam isu integriti dan rasuah. Ia memberi gambaran awal tentang tanggungjawab besar dalam bidang ini,” ujarnya.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UKM dalam melahirkan graduan berpengetahuan, beretika dan berintegriti tinggi selaras dengan keperluan negara.

Leave a Reply