Oleh Dr Samruhaizad Samian@Samion
Foto Zaidah (DBP)
KUALA LUMPUR, 3 Disember 2025 – Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (ICaRehab), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan Wacana Interaktif Sastera Jambatan Insani bagi menyantuni golongan Orang Kurang Upaya (OKU), di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.
Bertemakan “Sastera Jambatan Insani: Kesedaran, Kecaknaan, Keprihatinan”, program yang diadakan bersempena Sambutan Hari OKU Sedunia 2025 bertujuan mengilap bakat dan potensi golongan OKU dalam bidang kesusasteraan serta memperkukuh kefahaman masyarakat tentang keupayaan dan nilai kemanusiaan yang dikongsi bersama.
Menurut Dekan FSK, Prof. Dr. Suzana Shahar, program itu mencerminkan usaha berterusan Fakulti Sains Kesihatan melalui iCaRehab dalam membina masyarakat yang inklusif dan berdaya saing, sejajar dengan agenda Universiti Prihatin dan aspirasi negara ke arah kesejahteraan sosial menyeluruh.
Beliau berharap agar Sambutan Hari OKU Sedunia 2025 dapat meningkatkan kesedaran, kecaknaan dan keprihatinan masyarakat terhadap potensi luar biasa golongan OKU, serta membuka lebih banyak ruang kepada mereka untuk menyumbang dalam bidang kesusasteraan, akademik dan sosial.
Program yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara Orang Kelainan Upaya, Senator Tuan Isaiah D. Jacob dihadiri oleh seramai 164 peserta. Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti senam Gerak OKU, tiga wacana interaktif iaitu Wacana Interaktif Penulisan Kreatif, Wacana Interaktif Translasi Braille Karya Sasterawan Negara, dan Wacana Interaktif Bahasa Isyarat.
Setiap wacana berfungsi sebagai ruang interaksi inklusif antara masyarakat OKU dan bukan OKU dalam memperkaya makna kesusasteraan melalui pelbagai bentuk ekspresi dan komunikasi.
Sebagai tanda penghargaan, DBP bakal menerbitkan hasil karya peserta daripada Wacana Interaktif Penulisan Kreatif, sebagai bukti pengiktirafan terhadap bakat danpotensi besar komuniti OKU dalam dunia penulisan.
Inisiatif ini juga menegaskan komitmen DBP dan UKM dalam memartabatkan sastera sebagai jambatan insani yang merapatkan perbezaan dan memperkukuh empati sosial.

