Oleh Asmahanim Amir dan Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 26 September 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima seramai 4,078 pelajar baharu untuk program Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2025/2026.
Pada tahun ini, UKM menerima sebanyak 70,745 permohonan dengan 8,567 calon memilih UKM sebagai pilihan pertama melalui UPU.
Pendaftaran itu melibatkan pelbagai latar belakang pelajar dari seluruh Malaysia termasuk 12 pelajar orang kurang upaya (OKU), enam pelajar Orang Asli, empat pasangan kembar dan tujuh pasangan adik-beradik.
Daripada jumlah kemasukan, 58.8 peratus pelajar adalah daripada keluarga berpendapatan rendah.
Selain itu, seramai 355 pelajar antarabangsa dari Bangladesh, Brunei, China, Indonesia, Singapura dan Sudan diterima belajar di UKM.
Seramai 29 pelajar diberikan penangguhan bayaran yuran pendaftaran sementara menunggu bantuan pinjaman pendidikan seperti daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa atau zakat.
UKM turut menyediakan bantuan seperti Bantuan Jejak Pewaris Watan sebanyak RM1,200, Bakul Rahmah dan peralatan asrama untuk pelajar terpilih.
Pada sesi pendafatan pelajar kali ini, Naib Canselor, Prof Dr Sufian Jusoh telah mengumumkan pelaksanaan program Pelajar Angkat UKM, yang akan menerima pembiayaan penuh yuran pengajian daripada universiti itu.
Beliau berkata untuk sesi 2025/2026, UKM akan membiayai tiga orang pelajar baharu yang telah terpilih iaitu Muhammad Ahnaf Aiman Zaman Mazin (Fakulti Ekonomi dan Pengurusan), Muhammad Hazwan Harith Mohd Yusof (Fakulti Perubatan) dan Siti Nordahliah Herman Susilo (Fakulti Sains dan Teknologi).
“Ketiga-tiga mereka ini turut diberikan kemudahan asrama dan elaun sara hidup sepanjang tempoh pengajian,” katanya.
Beliau berkata biasiswa penuh itu ditawarkan bagi membantu pelajar yatim piatu dan kurang berkemampuan supaya mereka dapat meneruskan pelajaran di UKM tanpa terbeban dengan masalah kewangan.
Semua pelajar baharu menjalani program suai kenal iaitu Minggu Apresiasi Watan (MAW) bermula 17 September sehingga Rabu, 1 Oktober selama lima hari.
Dengan tema ‘Demi UKM’, MAW akan memberi pendedahan dan pengisian yang padat kepada pelajar baharu seperti, amanat Naib Canselor, sesi bersama alumni, pengenalan kepada aktiviti kampus, dan interaksi dengan fakulti, kolej serta Pusat Tanggungjawab universiti.


