Program Literasi Kelautan Kolaborasi antara RHB Islamic dan UKM Tingkat Kesedaran Kelestarian Alam Sekitar

Oleh Nur Izzati Ab Rahman
Foto Mohamed Fahmy Yusof

KUALA BESUT, 5 Oktober 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneruskan komitmen terhadap kelestarian melalui pelaksanaan Program Literasi Kelautan RHB Ocean Harmoni, sebuah inisiatif kolaborasi strategik bersama RHB Islamic Bank Berhad.

Program ini dianjurkan oleh UKM melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), serta Pusat Zakat UKM, dengan fokus kepada pendidikan alam sekitar dan pemeliharaan ekosistem marin.

Menurut Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan lautan sebagai sumber kehidupan, di samping menggalakkan tindakan kolektif dalam menjaga kebersihan serta kelestariannya.

“Program Literasi Lautan ini adalah usaha kami untuk mendidik dan menggerakkan masyarakat ke arah gaya hidup lebih lestari. Kami percaya bahawa dengan pengetahuan dan tindakan bersama, kita mampu memelihara keindahan lautan untuk generasi akan datang.

“Antara inisiatif yang dijalankan termasuklah memupuk literasi lautan dalam kalangan pelajar sekolah melalui Modul Pendidikan Literasi Kewangan di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian, Program Asnaf dan Komuniti Kampung Pasir Hantu, serta pelaksanaan Kibaran Jalur Gemilang.

“Selain itu, aktiviti sukarelawan seperti gotong-royong pembersihan pantai dan pengutipan sampah ketika selaman turut dilaksanakan, bagi menekankan isu pencemaran sampah terutama plastik/mikro-plastik di kawasan perairan.

“Sekitar 30 kg sampah yang kebanyakannya terdiri daripada botol plastik dan bekas makanan telah berjaya dikutip. Jaring hantu atau Ghost Net juga berjaya ditemui dan diangkut keluar kerana ia boleh mengakibatkan kerosakan kepada terumbu karang serta hidupan laut jika tersangkut,” jelas Prof Dr Norinsan.

Tambahnya, UKM berhasrat agar program ini menjadi platform berterusan dalam membina kesedaran masyarakat mengenai isu alam sekitar sekali gus menzahirkan sokongan padu terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 14: Hidupan di Bawah Air, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari, serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.

Program ini juga menekankan penglibatan aktif komuniti dan pelajar dengan penyertaan seramai 57 orang terdiri daripada staf UKM, pelajar, wakil industri dan penduduk setempat, menerusi pendekatan hands-on yang memberi pengalaman langsung tentang kepentingan menjaga lautan.

Turut hadir ialah Dekan FST, Prof. ChM Dr Ishak Ahmad, sekretariat Program Literasi, serta para pelajar yang terlibat.

Leave a Reply