Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
BANGI, 15 Oktober 2025 — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Warisan Negara (JWN) bagi melaksanakan aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan warisan.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada penganjuran persidangan antarabangsa, seminar dan simposium; pelaksanaan kerjasama dalam bidang penerbitan; perkongsian kepakaran kakitangan dalam bidang penyelidikan; serta penggunaan bersama bahan dan peralatan bagi tujuan pengajaran dan konservasi.
Pengarah ATMA, Prof. Madya Dr. Asyaari Muhammad berkata konsep kerjasama ini melibatkan keseluruhan UKM, bukan hanya ATMA.
“Buat masa ini, ATMA menjadi ‘caretaker’ bagi MoU tersebut. Contohnya, mana-mana fakulti atau PTJ yang ingin menjalin kolaborasi atau kerjasama dengan JWN juga boleh berbuat demikian, kerana MoU ini adalah kerjasama secara umum antara UKM dan JWN, bukan hanya dengan ATMA.
“Sebagai contoh, jika Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) ingin menjalankan kajian berkaitan seni dan warisan tidak ketara ‘intangible heritage’, mereka boleh bekerjasama dengan JWN, kerana JWN juga mempunyai unit warisan tidak ketara.
“Begitu juga jika melibatkan seni bina atau pemuliharaan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) boleh turut serta.
Tambahnya, ATMA telah menjalin kerjasama dengan JWN yang membuahkan hasil positif melalui penglibatan aktif pakar rujuk dan penyelidik UKM khususnya dalam bidang arkeologi.
Beliau berharap agar kerjasama ini diharap dapat terus diperkukuh bagi memperluas jaringan penyelidikan dan pembangunan ilmu warisan negara.
Majlis penandatanganan MoU ini disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Hadir sama, Pengarah Pusat IDEA-UKM, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal dan Felo Penyelidik Kanan ATMA, Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli merangkap Yang Dipertua Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.
Pada majlis ini, UKM turut membuka ruang pameran yang menggabungkan ATMA, FSSK, Fakulti Pergigian dan Fakulti Perubatan.

