Oleh Haiqal Rawlins
Foto oleh Ikhwan Hashim
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan kejayaan besar apabila UKM-Graduate School of Business (UKM-GSB) tersenarai buat pertama kalinya dalam QS Global MBA Rankings 2026, menduduki kedudukan 151–200 terbaik dunia, kedua terbaik di Malaysia dan ke-23 terbaik di Asia.
Pencapaian ini mencerminkan kualiti akademik, penyelidikan dan jaringan industri UKM-GSB yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil strategi jangka panjang universiti dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan penjenamaan global.
“Penarafan dan akreditasi bukan sekadar lambang status, tetapi cerminan kepada kualiti pendidikan, tadbir urus yang cekap dan reputasi institusi,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, UKM-GSB turut melanjutkan akreditasi penuh AACSB bagi tempoh 2025–2031, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai antara sekolah perniagaan paling berprestij di rantau ini.
Kecemerlangan UKM-GSB turut diserlahkan melalui dua sarjananya, Prof. Ts. Dr. Mohd Helmi Ali dan Prof. Madya Dr. Abdullah Mamun yang disenaraikan dalam 2% saintis terbaik dunia (Elsevier 2025).
Menurut Dekan UKM-GSB, Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, UKM terus memperkukuh reputasinya melalui keahlian dalam EFMD dan AAPBS, serta kerjasama dengan Harvard Business School melalui kursus Microeconomics for Competitiveness yang menjadikan UKM satu-satunya universiti di Malaysia yang menggunakan kurikulum rasmi Harvard Business School.
Turut hadir pada Majlis Kecemerlangan UKM-GSB dalam Penarafan QS Global MBA Rankings 2026 bertempat di Bangi Resort Hotel adalah Tunku Kecil Muda Negeri Sembilan, Yang Mulia Tunku Dato’ Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin, Pengarah Yayasan Canselor yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed dan Pendaftar, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud.

