UKM Jalin Kerjasama dengan Sunway University dan University of Oxford Kukuhkan Penyelidikan Perubatan

Oleh Muhammad Iqbal Mohd Noor

KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mengorak langkah apabila duduk semeja dengan University of Oxford, United Kingdom dan Sunway University bagi membincangkan kolaborasi yang bakal dilaksanakan dalam bidang perubatan.

Perbincangan yang diadakan di University of Oxford baru-baru ini diketuai oleh Prof Dr John Todd, yang merupakan Profesor Perubatan Ketepatan di Brasenose College, Pengarah Bersama Oxford-GSK Institute for Molecular and Computational Medicine (IMCM), serta Penyiasat Utama di Diabetes and Inflammation Laboratory (DIL).

Dalam perbincangan itu, UKM diwakili oleh Dekan Fakulti Perubatan, Prof Datin Dr Marina Mat Baki dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohamad Nasir Shafiee. Manakala Sunway University diwakili oleh Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Hayat, Prof Dr Raja Affendi Raja Ali.

Peranan Prof Dr John Todd sebagai Jeffrey Cheah Fellow of Medicine membuka peluang baharu bagi kolaborasi ketiga-tiga universiti ini dalam bidang perubatan.

Perbincangan ini merupakan kesinambungan daripada Kursi Jeffrey Cheah Foundation (JCF) yang ditubuhkan di UKM dan dipacu oleh Fakulti Perubatan untuk merumuskan formula terbaik bagi kolaborasi antara UKM dan Sunway University, khususnya dalam melestarikan aktiviti serta program yang telah ditubuhkan.

Isu-isu perubatan terkini seperti dementia, kanser genetik epidemiologi, dan penyakit metabolik turut dibincangkan sebagai topik penyelidikan yang boleh dijalin kerjasama antara University of Oxford, Sunway University, dan UKM.

Kolaborasi strategik ini diharapkan dapat membuka jalan bagi pencapaian penyelesaian inovatif dalam bidang perubatan, khususnya dalam menangani cabaran kesihatan global yang semakin berkembang.

Kedua-dua pihak, University of Oxford dan Sunway University melalui JCF, bersedia untuk meneruskan kerjasama ini demi menghasilkan penyelidikan yang memberi impak positif kepada komuniti perubatan.

Leave a Reply