3 Disember 2025 : CITRA-UKM telah menganjurkan Karnival Bahasa Citra yang terdiri daripada dua kursus bahasa terbesar di UKM iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Karnival ini merupakan suatu bentuk pembelajaran luar bilik kuliah yang mana pelajar mempelajari bahasa melalui aktiviti-aktiviti permainan. Tujuan karnival ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenali secara lebih dekat tentang bahasa dan budaya di Malaysia. Selain daripada itu, karnival ini juga membuka peluang kepada pelajar untuk meningkatkan keyakinan komunikasi dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Sebanyak 8 reruai bahasa Melayu dan 8 reruai bahasa Inggeris yang terlibat dalam karnival ini. Karnival ini telah dihadiri oleh 3000 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa. Karnival ini telah dirasmikan oleh Dr. Daing Zairi bin Ma’arof, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kebudayaan UKM (PUSKEB), Pusat Pengajian Citra Universiti (CITRA-UKM) dan Kolej Ibrahim Yaakub (KIY) telah menganjurkan pementasan Teater ASEAN: Nyanyian Angsa. Pementasan ini mendapat sentuhan bimbingan Dr. Afifuddin Husairi Hussain, Timbalan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Pendapatan) JANA@UKM, selaku Penasihat Produksi dan juga merupakan pensyarah CITRA-UKM. Pementasan teater ini menggabungkan estetika seni persembahan dengan nilai diplomasi budaya serantau, menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja menghibur tetapi juga mencetus wacana tentang hubungan kemanusiaan dan perpaduan dalam konteks ASEAN. Selepas pementasan di UKM, Nyanyian Angsa akan dipentaskan ke peringkat antarabangsa melalui persembahan di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Singapura (14 November 2025) dan di Universitas Indonesia, Jakarta (27 November 2025).
Program ini turut menjadi aktiviti pembelajaran bagi kursus LMCP1022 – Seni Berinovasi dan LMCR1212 – Sastera Siber, yang memberi ruang kepada mahasiswa untuk meneroka dunia seni kreatif sebagai medium komunikasi, inovasi, dan diplomasi budaya. Nyanyian Angsa merupakan manifestasi komitmen UKM dalam memperkasa diplomasi budaya ASEAN melalui pendekatan silang budaya yang kreatif, inklusif, dan berdaya inspirasi. Program ini juga mencerminkan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, yang menekankan perpaduan serantau melalui penglibatan rakyat, khususnya dalam bidang seni dan budaya.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan semangat Unity in Diversity menerusi ASEAN Cultural Night 2025, sebuah malam yang menampilkan kepelbagaian persembahan kebudayaan penuh warna-warni dari komuniti serantau ASEAN di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR). Acara ini diadakan bersempena ASEAN Community Conference 2.0 (ASCON 2025) dan dianjurkan oleh Pusat Pengajian Citra Universiti (CITRA-UKM) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) serta Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP). Dalam ucapannya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor, memaklumkan bahawa penganjuran malam budaya ini mencerminkan semangat inklusiviti dan kelestarian yang merupakan dua nilai utama yang menjadi teras kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Beliau turut menekankan bahawa kepelbagaian budaya bukan sekadar warisan, tetapi kekuatan yang menyatukan rakyat serantau di bawah semangat ASEAN yang kukuh dan berdaya tahan. Turut hadir adalah Pendaftar UKM, Tuan Haji Zanudin Mohd Daud, Dekan CITRA-UKM, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh dan Pengerusi ASEAN Community Conference 2.0, Prof. Madya Dr. Mashitoh Yaacob.
Persidangan Komuniti ASEAN 2.0 (ASCON2.0) yang diadakan di Dewan Tun Canselor Abdul Razak menghimpunkan pembentang termasuk ahli akademik, pembuat dasar, serta komuniti dari dalam dan luar negara. Persidangan ini merupakan anjuran Pusat Pengajian Citra Universiti (CITRA_UKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan. Dengan tema “Keterangkuman dan Kelestarian”, persidangan ini berperanan memperkasakan dan melahirkan komuniti ASEAN yang berinovasi dan mencapai kemajuan holistik dalam semua aspek.
ASCON 2.0 dirasmikan oleh Felo DiRaja UKM, Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz. Pada majlis ini juga, Naib Canselor, Prof. Dr. Sufian Jusoh turut menyampaikan ucaptama yang bertajuk “Malaysian Universities in the ASEAN Century: Leadership, Excellence and Regional Impact”. Hadir sama, Duta Timor-Leste ke Malaysia, Lisualdo Gaspar, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan CITRA-UKM, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh dan Pengerusi ASCON 2.0, Prof. Madya Dr. Mashitoh Yaacob.
Program SULAM Asli-Pimpin : Jalinan Mesra Watan @ Chini 2025 (Siri 2) telah berlangsung pada 7 hingga 9 November di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), ALAF UKM dan perkampungan Orang Asli Tasik Chini. Program kali ini melibatkan 63 orang pelajar dari Pusat Pengajian Citra Universiti, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat dan Fakulti Sains Teknologi. Aktiviti yang dijalankan ialah aktiviti ziarah ke rumah-rumah Orang Asli bagi memahami gaya hidup mereka sambil menjalankan latihan penyelidikan di lapangan. Selain itu pelajar-pelajar juga mengikuti aktiviti eksplorasi hutan dan tasik bagi memahami ekosistem di Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) UNESCO. Hasil pemerhatian dan pengalaman pembelajaran bersama komuniti dan alam di Tasik Chini akan digarap menjadi modul untuk pembangunan permainan dalam talian untuk advokasi Orang Asli dan TCRB. Program SULAM Asli-Pimpin: Jalinan Mesra Watan @ Chini 2025 (Siri 2) dianjurkan bersama oleh kumpulan penyelidikan UKM-TR2024-07 dan ALAF-2025-001 dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Pembangunan Orang Asli (JKKPOA) Kampung Gumum, JKKPOA Kampung Melai, Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) dan NGO MyFund Action Cawangan Pahang.
Program SULAM Asli-Pimpin 2025 ini menggabungkan pendekatan Quadruple Helix yang menyatukan akademik (pelajar UKM menjalankan penyelidikan lapangan untuk pembangunan modul permainan dalam talian), kerajaan (kerjasama JKKPOA dan PTNP), industri (sumbangan NGO MyFund Action), dan komuniti (perkongsian pengetahuan Orang Asli Tasik Chini). Sinergi ini memastikan program yang diadakan di PPTC dan perkampungan Orang Asli itu bukan sekadar lawatan, tetapi menjana output advokasi yang autentik dan mampan untuk TCRB, sambil memperkukuh jalinan antara universiti dengan semua pihak yang terlibat.
4 November 2025 : Tahniah diucapkan kepada CITRA-UKM kerana telah berjaya menjalinkan kerjasama bersama Yayasan Pulau Banding melalui kerjasama perjanjian MoU. Pemeteraian ini telah berlangsung dalam majlis My Ideas Connect: Kolaborasi Berimpak Tinggi MoU/MoA/LoI/Produk sempena Festival Idea Putrajaya di PICC. Kerjasama MoU ini melibatkan aktiviti-aktiviti penyelidikan, program intervensi dan penglibatan pelajar bersama masyarakat. Turut hadir ialah Prof. Emeritus Dato. Dr. Abdul Latiff Mohamad (Pengerusi Yayasan Pulau Banding), Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed (Menjalankan Fungsi TNC HEJIM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh (Dekan CITRA-UKM), Dr. Daing Zairi Ma’arof (TD HEJIM) dan Dr. Yusnaini Md. Yusoff (Ketua Jaringan Industri).
2 Oktober 2025 : Bengkel Asimilasi Citra 2025 telah diadakan kepada pelajar baharu program Sarjana Muda Sains Citra (SMSC) sesi akademik 2025-2026 yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Wahiza Wahi, Ketua Program SMSC. Bengkel ini menjadi paltform kepada pelajar baharu berkenaan hal ehwal pengurusan program SMSC. Pelajar-pelajar baharu didedahkan dengan struktur program Sarjana Muda Sains Citra. Dalam pada masa yang sama, pelajar juga diberikan keutamaan untuk mendaftar kursus-kursus Citra untuk memudahkan pelajar mengikuti kursus-kursus yang telah disusun oleh Citra.
30 September 2025 : Bengkel yang dianjurkan oleh KPU10 MPU di bawah Pusat Pengajian Citra Universiti secara dalam talian telah menghimpunkan seramai 55 orang peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar IPTA dan IPTS seluruh Malaysia. Objektif bengkel ini adalah untuk memperkukuh kompetensi pengajaran, memperluas jaringan akademik, serta meningkatkan keberkesanan penyampaian Kursus PEP di institusi masing-masing. Bengkel ini disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Sobhi Ishak, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Antara pengisian bengkel termasuklah konsep penghayatan Etika dan Peradaban, kaedah penggunaan modul PEP bagi Topik 1 hingga 9, serta strategi pentaksiran yang efektif. Ucapan penghargaan juga ingin dirakamkan kepada semua urus setia bengkel ini.
Bengkel ini juga merupakan salah satu usaha penjanaan Pusat Pengajian Citra Universiti melalui kumpulan KPU10 MPU, yang dikendalikan oleh Penyelaras PEP, Dr. Nurul Syakirah Nazri 🇲🇾. Melalui penganjuran bengkel, penjanaan kewangan sebanyak RM4,010. Walaupun Kursus PEP bakal digantikan dengan kursus baharu, sambutan yang diterima daripada tenaga pengajar IPTA dan IPTS di seluruh negara adalah sangat menggalakkan. Ini membuktikan bahawa kursus ini masih relevan, bermanfaat, dan mendapat perhatian dalam kalangan komuniti akademik
Pada 29 dan 30 September 2025 telah dianjurkan bengkel oleh KPU10 MPU dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM. Bengkel ini menghimpunkan 177 peserta daripada lebih 10 IPTA dan IPTS seluruh Malaysia dan disampaikan oleh barisan penceramah yang terdiri daripada SPRM (Tuan Wan Noorul Hisyam dan Puan Rosni Mohd Mokhtar), UM (Dr. Shamsinor Abdul Azzis), serta wakil Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan KIAR (Dr. Mashitoh Yaacob dan Dr. Nasruddin Yunos). Bengkel ini juga merupakan salah satu usaha penjanaan Pusat Pengajian Citra Universiti melalui kumpulan KPU MPU yang dikendalikan oleh Penyelaras KIAR, Dr. Nur Asmadayana Hasim.
Terima kasih juga kepada mantan Pengerusi J/K teknikal dan pembangunan KIAR, Prof Madya Dr. Fazilah Idris. Terima kasih juga kepada Dr. Nurul Asmaa, Dr. Noor Sharizad, Pn. Hazirah, Pn. Shazwani, dan En. Abdilah atas bantuan serta komitmen dalam melaksanakan bengkel ini. Tidak dilupakan RA Cik Izzah Ulya yang banyak membantu dari sudut teknikal, bahan sokongan dan memastikan kelancaran sepanjang TOT berlangsung. Semoga usaha ini terus memperkukuh pelaksanaan KIAR di IPT seluruh Malaysia demi membina generasi berintegriti dan beramanah.
9 September 2025 : Usaha memperkukuhkan ekonomi Bumiputera adalah perjalanan panjang yang menuntut kesungguhan serta komitmen bersama. MINDA dibantu oleh sepasukan pakar data analitik dari KITA dan CITRA telah mengemukakan cadangan penububan Pusat Data Bumiputra. Penubuhan ini dianggap dapat menjayakan agenda pembangunan Bumiputra. Cadangan ini diterima baik dan mesyuarat susulan bersama Kementerian Ekonomi dan MARA akan dijalankan.
Seramai empat orang pensyarah Pusat Pengajian CITRA UKM terlibat dengan pembangunan Pusat Data Bumiputra. Antara pensyarah CITRA yang terlibat ialah Dr. Afifuddin Husairi Mat Jusoh@Hussain, Dr. Yusnaini Md. Yusoff, Dr. Muhammad Firdaus Aziz dan Dr. Nurul Hanis Aminuddin Jafry.
20 Ogos 2025 : CITRA dan HEP UKM bergabung tenaga melalui Geran Citra-2025-005 untuk menggerakkan idea baharu dalam kalangan mahasiswa. Dalam sesi Brainstorming Bicara Tuntas Citrapreneurlab, kami membuka ruang kepada pelajar CITRA untuk mencabar kreativiti mereka melalui Pertandingan Produk & Servis Sosial yang bakal dijalankan pada Semester 1 Sesi 2025/2026. Antara idea awal yang dibincangkan termasuk penghasilan produk jualan yang dekat dengan jiwa mahasiswa seperti tumbler, lanyard, tote bag dan lain-lain serta pelbagai lagi inovasi kreatif yang boleh dikembangkan menjadi perniagaan sosial berimpak.
Matlamat utama program ini ialah melatih mahasiswa menjadi Citrapreneur. usahawan sosial yang bukan sekadar berfikir tentang keuntungan, tetapi juga memberi nilai tambah kepada komuniti dan universiti. Bicara Tuntas Citrapreneurlab bakal menjadi medan mahasiswa membina produk yang berdaya saing, berinovasi dan bersifat lestari bersedia untuk dikomersialkan dan diangkat ke pasaran sebenar.
12 Ogos 2025 : CITRA-UKM telah mengadakan lawatan industri ke Yayasan Raja Zarith Sofiah (YRZS) untuk membincangkan potensi kolaborasi antara kedua-dua pihak. Perbincangan berfokuskan kepada cadangan projek rintis yang akan dijalankan dengan kerjasama CITRA-UKM, YRZS, Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ), NGO dan Industri.
Delegasi CITRA-UKM telah disambut oleh En. Hishamudin Abdul Rahim, CEO YRZS dan tim pengurusan dan CITRA-UKM diketuai oleh Prof. Dr. Sharifah Ezat Wan Puteh, Dekan CITRA-UKM. Turut hadir Dr. Daing Zairi Ma’arof, TDHEJIM dan Dr. Halizah Omar, Penyelaras Jaringan Komuniti CITRA-UKM.
9 Ogos 2025 : CITRA-UKM telah dijemput oleh GTI Media Sdn. Bhd selaku penganjur utama untuk mengisi slot dalam atur cara Hari Kerjaya Mega 2025 bertempat di Pentas Utama Pusat Konvensyen KLCC. Slot yang diberi nama Kenali Sains Citra: Pusat Pengajian Citra Pertama di Malaysia ini merupakan platform kepada CITRA-UKM mempromosikan Sarjana Muda Sains Citra, Sarjana Sains Citra, Kursus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris CITRA-UKM. Jemputan ini juga merupakan sebahagian daripada praaktiviti melalui kerjasama yang bakal dijalin melalui Memorandum Persefahaman dan Memorandum Perjanjian antara kedua-dua pihak.
Antara intipati utama memorandum kerjasama ialah penempatan pelajar CITRA di industri sebagai keperluan pembelajaran berasaskan kerja (WBL). Pejabat TDHEJIM CITRA-UKM akan sentiasa mencari peluang kolaborasi dengan industri demi memastikan universiti dan industri saling melengkapi.
Tahniah diucapkan kepada Pusat Pengajian Citra Universiti, UKM yang berjaya menjalankan kerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) melalui penandatanganan dan pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) & Memorandum Persefahaman (MoU) pada hari ini. Majlis pertukaran dokumen telah berlangsung dalam Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 yang berlangsung di Kompleks PKNS, Shah Alam. Pertukaran dokumen ini telah disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Ammiruddin bin Shari, Menteri Besar Selangor.
UKM diwakili oleh Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, Dekan Pusat Pengajian Citra Universiti yang turut menjadi wakil kepada Naib Canselor UKM dan PPAS pula diwakili YBhg. Datin Paduka Hjh. Mastura Hj. Muhamad, Pengarah PPAS. Tahniah juga diucapkan kepada Dr. Halizah Omar selaku Penyelaras MoA & MoU. Turut hadir Dr. Daing Zairi Ma’arof, TDHEJIM, Dr. Yusnaini Md. Yusof, Ketua Jaringan Industri CITRA, Dr. Nasruddin Yunos, PDPP CITRA, Pn. Tuti Martini Mahmud, Ketua Pentadbiran dan Pn. Sufeera Rahmad, Penolong Pendaftar Kanan CITRA.
21 Jun 2025 : Seramai 40 orang mahasiswa kursus LMCR1102 Kesukarelawan Khidmat Bakti telah terlibat dalam program ini. Program ini melibatkan 100 orang pelajar Tingkatan 5 yang telah diadakan di SMK Seremban 2. Program ini bertujuan untuk mengukuhkan kemahiran Bahasa Inggeris disamping membina kemahiran-kemahiran insaniah yang lain dalam diri para pelajar UKM sebagai fasilitator program dan para pelajar SMK Seremban 2 sebagai peserta. Antara aktiviti yang dijalankan ialah program pemerkasaan dan manifestasi matlamat serta program pengenalan Pusat Pengajian Citra Universiti UKM .
Ucapan penghargaan dan terima kasih buat semua warga Citra yang turut sama hadir dan bertungkus lumus demi menjayakan program iaitu Puan Wan Nur’ashiqin Wan Mohamad (selaku Main Coach Vision Board), Dr Halizah Omar (Penyelaras Jaringan Komuniti), Dr Hanis Aminuddin Jafry (Pensyarah Kursus LMCR 1102), Cik Huzaiffa Mastura Mohd Supian (AJK Pemantapan Bahasa Inggeris), Cik Siti Aisyah Mohd Adaha (AJK Jaringan dan Penjanaan Bahasa Inggeris) dan En. Devendran a.l Ramachandran (AJK Jaringan dan Penjanaan Bahasa Inggeris). Jutaan terima kasih juga buat Dr Wardah, Dr Mazidah dan En Zafri yang juga merupakan penasihat bersama.