Bijaksana Untuk Memperkasa
Sejarah Penubuhan Fakulti Pengajian Sains Citra dan Pengukuhan
CITRA-UKM
Pendidikan tinggi tidak lagi memadai dengan melahirkan graduan yang menguasai bidang pengkhususan. Universiti perlu membentuk insan yang luas ilmu, tajam fikiran, cekap berkomunikasi, teguh nilai dan mampu memahami kehidupan secara menyeluruh. Dalam konteks Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), gagasan ini berakar sejak penubuhan universiti pada tahun 1970 melalui penawaran kursus umum seperti Sejarah Sains, Sains Umum dan Kenegaraan
Malaysia. Gagasan tersebut diperkukuh dengan penubuhan Pusat Pengajian Umum (PPU) pada tahun 1982, yang mengembangkan pengajian merentas disiplin dalam bidang falsafah, tamadun, etika, kenegaraan, kemahiran berfikir dan pembangunan insan. PPU bukan sekadar mengendalikan kursus Wajib Universiti dan pendidikan liberal, malah berkembang sebagai ruang intelektual bagi penyelidikan, penerbitan
dan wacana multidisiplin, termasuk penerbitan Jurnal Pengajian Umum pada tahun 2000 yang kemudiannya dikenali sebagai MALIM: Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara pada hari ini.
Perubahan landskap pendidikan tinggi dan tuntutan memperkukuh pendidikan liberal serta multidisiplin membawa kepada penstrukturan semula PPU. Pada 10 Julai 2013, Pusat Citra Universiti (PCU) ditubuhkan sebagai kesinambungan tradisi pengajian umum UKM dan wadah pendidikan liberal yang lebih tersusun. Penubuhannya selari dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan
serta agenda pembangunan modal insan berkelas pertama. Pendidikan Citra berhasrat melampaui batas disiplin dengan membangunkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi memiliki kemahiran, nilai dan ciri peribadi unggul untuk menghadapi tuntutan masyarakat serta ekonomi berasaskan ilmu dan inovasi.
Peranan PCU berkembang pada tahun 2018 apabila Program SarjanaMuda Sains Citra dengan Kepujian mula ditawarkan, di samping pengendalian kursus Wajib Universiti dan Pendidikan Citra merentas fakulti, institut dan pusat. Perkembangan ini menandai perubahan penting apabila PCU bukan lagi sekadar menyokong program akademik fakulti lain, tetapi turut memiliki program pengajiannya sendiri.
Pengukuhan institusional PCU diteruskan melalui penstrukturan kedekanan. Cadangan tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Dekan-Dekan UKM pada 25 Ogos 2020 dan diperakukan oleh Pusat Strategi UKM pada 23 Oktober 2020. Proses ini mencapai kemuncaknya pada 1 Mac 2021 apabila PCU dinaik taraf sebagai Pusat Pengajian Citra Universiti (PPCU) bertaraf fakulti. Struktur baharunya merangkumi Dekan, Timbalan Dekan bagi Akademik, Penyelidikan dan Jaringan serta Kompetensi Komunikasi, di samping Penolong Dekan bagi Kualiti dan Strategi, Pengajaran dan Pembelajaran, Keusahawanan dan Kreativiti serta Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Pewujudan portfolio Kompetensi Komunikasi memperlihatkan penegasan terhadap penguasaan bahasa dan komunikasi sebagai kompetensi penting graduan UKM.
Pada terasnya, Pendidikan Citra membawa cita-cita yang lebih besar daripada penyampaian ilmu. Visinya adalah untuk menjadi peneraju kecemerlangan pengajian liberal di Malaysia melalui tiga tonggak: memperkasa pelajar menjadi insan berilmu, bijaksana, holistik dan berkemahiran tinggi; membina kebitaraan ahli akademik pelbagai disiplin dengan sokongan pentadbiran yang berdedikasi dan berintegriti; serta membentuk gandingan pintar dan strategik dengan pemegang taruh tempatan. Matlamat akhirnya ialah melahirkan graduan yang berakhlak mulia, beretika profesional, berwawasan dan beraspirasi kebangsaan; berketerampilan dalam pelbagai bahasa dan mampu berkomunikasi merentas suasana, peringkat dan budaya; berfikiran holistik melalui penyatuan pengetahuan umum dan khusus serta penaakulan kuantitatif dan kualitatif; bertakwa serta memiliki kemahiran kepimpinan, keusahawanan dan inovasi; mampu memahami dan mengaplikasikan sains dan teknologi secara beretika demi kelestarian; serta bertanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat melalui kehidupan yang sejahtera. Tegasnya, Citra mengangkat pendidikan sebagai proses pembinaan manusia seutuhnya yang menghubungkan intelek dengan akhlak, ilmu dengan kemahiran, kebebasan berfikir dengan tanggungjawab, serta kecemerlangan diri dengan kesejahteraan masyarakat.
Kedudukan Pusat Pengajian Citra Universiti terus mengukuh apabila Program Sarjana Sains Citra mula ditawarkan pada 1 Jun 2022, sekali gus memperluas tradisi pendidikan liberal dan multidisiplin ke peringkat pasca ijazah. Perkembangan ini disusuli Bengkel Pelan Strategik PPCU pada 13 Januari 2024, yang menyelaraskan struktur kedekanan dengan tuntutan strategik UKM, khususnya dalam penyelidikan dan inovasi serta jaringan industri dan masyarakat. Dua portfolio baharu diwujudkan, iaitu Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) dan Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Masyarakat) yang memperluaskan mandat Citra daripada pengajaran umum kepada penyelidikan, inovasi, jaringan dan keterlibatan masyarakat.
Perjalanan yang panjang ini menemukan satu lagi titik penting pada 17 Julai 2026, apabila Pusat Pengajian Citra Universiti secara rasmi dijenamakan semula sebagai Fakulti Pengajian Sains Citra (Faculty of Liberal Science). Penjenamaan baharu ini mencerminkan keluasan fungsi dan tanggungjawab akademik serta kedudukan pengajian sains citra yang semakin kukuh dalam landskap akademik UKM. Namun, CITRA-UKM dikekalkan sebagai identiti institusi sebagai lambang kesinambungan sebuah gagasan yang berkembang daripada pengajian umum kepada pendidikan liberal dan seterusnya pengajian sains citra. Pada akhirnya, seluruh kembara ini bertumpu pada satu asas: ilmu, mutu dan budi, dengan pembentukan insan holistik yang berpaksikan iman, ilmu dan amal.