Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses

 FKAB UKM

Ijazah Sarjanamuda Kejuruteraan Kimia

  • University-Industry Collaboration in T&L

Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses (JKKP) menawarkan dua pengkhususan Ijazah Sarjanamuda Kejuruteraan iaitu Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Biokimia sejak Jabatan ini ditubuhkan pada 1984 apabila Fakulti diwujudkan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kejuruteraan Kimia secara langsung terlibat dalam pemprosesan bahan mentah kepada bahan berguna terutama sekiranya pemprosesan itu melibatkan perubahan keadaan, rencaman dan kandungan tenaga bahan yang diproses. Prinsip kimia, fizik dan matematik yang merupakan asas Kejuruteraan Kimia digunakan untuk memahami proses tindak balas kimia dalam reaktor dan proses pengangkutan dalam pemprosesan dan pemisahan. Prinsip ekonomi dan pengurusan pula melengkapkan lagi program Kejuruteraan Kimia.

Kejuruteraan Biokimia yang berasal daripada industri fermentasi menggunakan prinsip Kejuruteraan Kimia dalam pemprosesan bahan biologi dan biokimia. Bidang ini merangkumi pembiakan baka mikroorganisma, penggunaan enzim sebagai mangkin proses biologi dan biokimia, dan reka bentuk, pengoptimuman dan kawalan proses untuk proses biologi dan biokimia skala besar dan proses penghasilan barangan komersial seperti bahan makanan, bahan farmasi dan bahan biokimia industri umumnya.

Bermula dari sesi akademik 2015-2016, program Kejuruteraan Kimia telah distrukturkan semula di mana semua elemen Kejuruteraan Biokimia digabungkan ke dalam program ini. Hal ini dilaksanakan sejajar dengan keperluan akreditasi serta industri yang menghendaki graduan yang berpengetahuan luas mencakupi kedua-dua bidang. Ia juga sejajar dengan program Kejuruteraan Kimia yang rata-rata dilaksanakan di universiti-universiti terkemuka di dunia.

Selain itu, program pengajian juga telah distrukturkan supaya pelajar diberikan pendedahan luas serta mendalam dalam pengalaman reka bentuk, kerja industri serta penyelidikan. Pada akhir tahun ketiga, pelajar perlu menjalani latihan industri. Projek penyelidikan pula dilakukan pada semester VII dan VIII. Pada tahun akhir pelajar perlu menyempurnakan projek reka bentuk keseluruhan loji. Asas yang kuat serta pendedahan praktikal ini dipercayai akan menghasilkan jurutera yang berwibawa. Struktur kurikulum telah dirancangkan dengan teliti supaya pelajar memperolehi pengetahuan yang secukupnya untuk melakukan Projek Reka Bentuk Loji Proses pada Semester VIII. Pelajar mengguna perisian komputer seperti Aspentech ®, iCON ® dan Superpro ® untuk membantu mereka dalam Projek Reka Bentuk.