Latar Belakang

Pengisytiharan Universiti Penyelidikan

Pada 11 Oktober 2006 Kerajaan telah mengisytiharkan UKM sebagai universiti penyelidikan. Watikah pengisytiharan disampaikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 2 Ogos 2007. Pengisytiharan ini menyusul pembentangan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) yang mengenal pasti UKM sebagai salah satu daripada empat buah universiti penyelidikan negara. Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara pula, yang dilancarkan pada 27 Ogos 2007, adalah langkah penting untuk menentukan hala tuju sesebuah universiti penyelidikan melalui tujuh teras strategik, iaitu:

  1. Memperluas akses dan meningkatkan ekuiti.
  2. Menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran.
  3. Memperteguh penyelidikan dan inovasi.
  4. Memperkasa institusi pengajian tinggi.
  5. Mempergiat pengantarabangsaan.
  6. Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
  7. Mengukuhkan sistempenyampaian Kementerian Pengajian Tinggi.

Pelan Tindakan menggariskan faktor penunjuk kejayaan dalam meningkatkan penyelidikan di universiti dan pengintegrasiaanya ke dalam sistem inovasi negara. Ini meliputi usaha untuk memastikan sistem tadbir urus cekap, berkesan dan telus yang menuju ke arah autonomi, menyediakan sumber yang cukup dan infrastruktur yang baik, serta menggalakkan kerjasama antara universiti dengan pelaku lain dalam sistem inovasi negara.

Rasional Mewujudkan Universiti Penyelidikan

Rasional mewujudkan Universiti Penyelidikan ialah untuk mempercepatkan proses anjakan kepada ekonomi berasaskan ilmu (k-ekonomi) sebagai enjin pertumbuhan utama yang berdaya saing pada peringkat global. Anjakan ini diperlukan untuk kita bersedia mengambil bahagian dalam peralihan senario sosioekonomi dunia kini, iaitu daripada berbentuk pelaburan besar kepada aktiviti intensif pengetahuan yang menjana inovasi dalam barangan dan perkhidmatan yang menepati piawaian global dan serentak dapat menambahkan kekayaan negara serta meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat. Aktiviti intensif pengetahuan bergantung pada keupayaan menjana dan mengurus pengetahuan temasuk penyelidikan dan pembangunan, usaha pelesenan dan penguasaan harta intelek. Penjanaan pelbagai teknologi, termasuk produk, proses dan strategik dengan kadar inovasi yang tinggi meningkatkan daya saing negara.

Untuk berjaya dalam k-ekonomi, kita perlu membina aset dan modal k-ekonomi. Universiti Penyelidikan adalah satu institusi terpenting untuk menghasilkan modal insan yang boleh menerajui kepimpinan intelektual dan teknologi. Ia juga penting untuk membentuk masa kritikal penyelidikan untuk mengangkat negara kita sebagai sebuah negara pencipta teknologi. Universiti Penyelidikan juga menjadi wahana untuk mempercepatkan pembangunan kerana pintar memindah ilmu yang dijana kepada penggunaan berkesan melalui jaringan kukuh dengan sistem inovasi kebangsaan.