Oleh Syahirah Ibrahim
Foto Affizi Fazdli Aznal
BANTING, 17 Januari 2026 – Sekumpulan pelajar MBA Graduate School of Business (UKM-GSB) Universiti Kebangsaan Malaysia berjaya mengumpulkan sebanyak 711.85 kilogram sisa kitar semula bersama penglibatan komuniti Bukit Changgang.
Inisiatif Infaq Hijau ini merupakan sebahagian daripada program komuniti bertemakan Transformasi Hijau: Sisa Jadi Sumber yang dianjurkan oleh kumpulan pelajar yang dikenali sebagai KitarKumpOil.
Program tersebut merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang dirangka dan dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar dengan bimbingan Dr. Mazzlida Mat Deli, Pensyarah Kanan UKM-GSB, serta penyelia bersama Prof. Madya Dr. Mohammad Nazir Ahmad.
Menurut Dr. Mazzlida, inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran dan sisa domestik, malah memberi pendedahan kepada komuniti mengenai kepentingan pengurusan sisa secara mampan.
Program tersebut turut menampilkan bengkel pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai yang dikendalikan oleh pelajar UKM-GSB sendiri.
“Bengkel ini memberikan kemahiran praktikal kepada peserta untuk menghasilkan produk bernilai ekonomi, di samping meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan sumber.
“Aktiviti ini mendapat sambutan menggalakkan, khususnya dalam kalangan wanita yang berpeluang menjana pendapatan tambahan,” kata beliau.
Salah seorang peserta bengkel, Puan Nurasyikin berkata: “Selama ini saya selalu buang minyak masak, tapi hari ini saya belajar ia boleh dijadikan sabun. Memang ilmu baru yang berguna.”
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Kampung Bukit Changgang, Tuan Mohd Alias Hamdi.
“Kami amat menghargai usaha pelajar UKM-GSB ini kerana bukan sahaja mendekati komuniti, malah mendidik penduduk tentang kepentingan kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar.”
Kanak-kanak juga tidak ketinggalan, didedahkan dengan amalan kitar semula melalui pertandingan mewarna dan aktiviti pendidikan, manakala komuniti diperkenalkan kepada konsep Reverse Vending Machine menerusi kerjasama dengan SMART RVM mygreenplus.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai penggunaan mesin kitar semula berteknologi tinggi yang direka bagi memperkukuh kecekapan, ketepatan, dan kelestarian amalan kitar semula.
Mesin RVM tersebut dijangka dilancarkan secara rasmi di Dataran Banting pada akhir Januari, dan program ini memberi peluang kepada komuniti memahami kaedah penggunaan serta kepentingan amalan kitar semula secara berstruktur sebelum pelancaran rasmi.
Turut menyokong program ialah Beacon Hospital, yang membuka kaunter pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk setempat sepanjang penganjuran program, selaras dengan usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Program ini selari dengan beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), dan SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim).

